Read Time:6 Minute, 42 Second
KOTA KINABALU, — Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan Sabah Law Society (SLS) mengenai hak 40 peratus hasil bersih Sabah disifatkan sebagai kemenangan besar yang telah lama dinanti oleh rakyat Sabah, kata peguam dan aktivis MA63, Datuk Haji Ansari Abdullah.
Beliau berkata, peruntukan bagi pemulangan dua perlima (2/5) hasil Kerajaan Persekutuan yang dikutip di Sabah telah pun wujud sejak termeterainya Perundingan IGC pada 1962 dan kemudian diterapkan dalam Perjanjian Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, perkara itu termasuk dalam peruntukan kewangan yang sepatutnya dikaji semula setiap lima tahun sebagaimana digariskan dalam Perlembagaan.
“Kajian pertama isu kewangan ini dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri oleh USNO, tetapi selepas peristiwa Mei 13 tahun 1969, satu ketetapan diambil pada tahun 1970 dan selepas itu tidak banyak perkembangan berlaku,” katanya ketika ditemui Sabah Media baru ini.
Sejarah Awal Isu Minyak dan Akta Petroleum 1974
Beliau yang mengimbas Sejarah Sabah berkata bahawa sebelum wujudnya Petronas, kerajaan Sabah di bawah Tun Datu Mustapha telah menandatangani perjanjian dengan syarikat Jepun bagi meneroka minyak di perairan Sabah.
“ Minyak sudah ditemui di Balikpapan, di Brunei, dan kerana kita berada di satu pulau, di Miri sudah ada minyak di darat, begitu juga di Brunei iaitu di Seria Minyak di laut mula-mula ditemui di Brunei.
Selepas itu, kalau saya tidak silap, di Balikpapan. Maka kerajaan Sabah pada waktu itu di bawah Tun Mustapha sudah menandatangani perjanjian dengan syarikat-syarikat Jepun dan sebagainya untuk mencari minyak. Namun timbullah masalah bila Akta Pembangunan Petroleum dibawa ke Parlimen pada tahun 1974, dan masa itu negara masih dalam status darurat.
Dengan tidak senangnya kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri Sabah waktu itu, maka Parti Berjaya ditubuhkan. Pada tahun 1976, pemerintahan kerajaan USNO dan Perikatan berakhir dan timbullah Berjaya katanya.
Surat Pertama Menuntut “2/5 Hasil” Tidak Pernah Dijawab
Ansari turut berkongsi bahawa selepas Datuk Harris Salleh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 1976, arahan pertama kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Simon Sipaun, ialah menulis surat kepada Kuala Lumpur menuntut bayaran 2/5 hasil Persekutuan.
“Menurut Tan Sri Simon, surat itu masih ada. Namun sehingga saya bersara, Kuala Lumpur tidak pernah menjawab,” ujarnya.
Beliau menambah, selepas era Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, banyak fakta mengenai MA63 ditekan dan disembunyikan daripada pengetahuan umum.
Usaha Menyemarakkan Kesedaran MA63
Ansari berkata, beliau sendiri mula membangkitkan isu ini secara terbuka pada 2012 di Hotel Tang Dynasty, dan sekali lagi pada 2013 di Dewan Sivik Petaling Jaya di hadapan pemimpin politik dan peguam.
“Ramai yang terkejut dengan pendedahan itu kerana tidak tahu kewujudan laporan IGC dan kandungan sebenar Perjanjian Malaysia. Malah di Semenanjung pun dua dokumen itu tidak dijual di Jabatan Cetak Kerajaan atau perpustakaan utama,” katanya.
Sehingga apabila kita adakan forum pertama tahun 2015 di UMS, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, salah seorang peguam kanan dari Kuala Lumpur, bertanya kepada saya dari mana kamu dapatkan buku laporan IGC-62 dan Perjanjian Malaysia?
Kerana dua dokumen ini tidak dijual di Semenanjung, sama ada di Jabatan Cetak Kerajaan mahupun di perpustakaan termasuk perpustakaan terbaik waktu itu, Universiti Malaya. Ini dari Tan Sri Shafee sendiri.
Jadi kita nampak pada waktu itu ada usaha untuk menyembunyikan fakta dan sejarah — bukan saja tentang pembentukan Malaysia tetapi juga syarat-syarat pembentukannya.
Rata-rata mereka terkejut bila saya ceritakan tentang kedudukan Sabah, peruntukan kewangan dan kuasa imigresen, termasuk di kalangan beberapa peguam. Di Kota Kinabalu sendiri, saya masih ingat Datuk James Gani, Datuk Douglas Lin dan Datuk S Venugopal. Selepas saya berucap, mereka bertanya, “Where did you get all this?” Saya jawab, “It’s there.”
Sejak itu, beliau giat menjelaskan isu MA63 kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk dalam forum di Keningau bersama Profesor Aziz Bahri, yang kemudian menarik perhatian Tan Sri Anifah Aman selaku Menteri Luar ketika itu.
Anifah Aman dan Pengesahan Queen’s Counsel

Ansari memaklumkan bahawa selepas beliau memberi taklimat kepada Anifah, Menteri Luar itu pergi ke London dan mendapatkan pandangan dua Queen’s Counsel, termasuk Anthony Lester, yang mengesahkan bahawa semakan lima tahun sekali adalah hak “mandatory” Sabah.
“Itu menjadi asas kepada forum besar MA63 di UMS yang dihadiri lebih 7,000 orang, di mana isu ini buat pertama kali dibawa ke institusi pengajian tinggi,” katanya.
Saya masih teringat ucapan Datuk Yong Teck Lee yang berkata, “Thank you Datuk Anifah. In those days we could only talk about this in the balai raya, in the kampung. For the first time, this issue is brought into an institution of learning — in the university. Thank you for this.”
Selepas itu, satu jawatankuasa kerja dibentuk — saya di dalamnya, termasuk Dr. Jeffrey dan Zainal Ajamain ( Allahyarham) Kami siapkan satu memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib. Datuk Najib mengarahkan pembentukan Jawatankuasa Kabinet untuk mengkaji perkara ini.
Walaupun banyak peruntukan tidak dilaksanakan, tumpuan Tan Sri Anifah ialah pada kewangan. Alasannya, yang lain itu tidak penting — yang paling penting kewangan. Kerana kalau kita ada kewangan yang cukup, kita boleh bangunkan Sabah ini.
Tan Sri Anifah dilantik sebagai Co-Chairman bersama Nancy Shukri. Pada Mac 2018, beliau mengeluarkan kenyataan media bahawa beliau akan keluar daripada UMNO sekiranya UMNO gagal melaksanakan apa yang terkandung dalam memorandum itu. Enam bulan kemudian, beliau keluar daripada UMNO kerana UMNO gagal melaksanakan.
Katanya lagi, forum tersebut membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Kabinet di bawah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, dengan tumpuan utama pada isu kewangan.
Isu MA63 Bukan Milik Parti Politik
Menurut Ansari, perjuangan MA63 bukanlah isu parti atau kerajaan, tetapi milik semua rakyat Sabah.
“Tan Sri Anifah menjemput semua wakil parti — PKR, PAS, SAPP, Dr Jeffrey — untuk bersama merakyatkan isu ini. Pendekatan beliau jelas, bahawa MA63 ialah hak semua anak Sabah,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa hasil kesedaran rakyat inilah yang akhirnya membawa kepada kemasukan tuntutan hak Sabah dan Sarawak dalam manifesto Pakatan Harapan 2018.
Peranan Kerajaan Negeri dalam Kes Mahkamah Tinggi
Mengulas tuduhan bahawa kerajaan negeri “menunggang” kemenangan Mahkamah Tinggi, Ansari menjelaskan bahawa pada peringkat awal, kerajaan negeri diwakili Tengku Fuad, tetapi lantikan itu ditarik balik selepas kenyataan beliau dianggap tidak selari dengan pendirian kerajaan negeri.
“Selepas itu, Peguam Negeri Datuk Nur Asia dan kini Datuk Brandon Soh telah berhujah menyokong permohonan Sabah Law Society. Malah SLS sendiri melalui mantan presidennya, Datuk Roger Chin, mengakui kerajaan negeri banyak membantu dengan memberi rekod dan dokumen penting,” katanya.
Namun gambaran saya sebagai orang luar — apa pun kesilapan jika ada — sudah diperbetulkan, apabila dua Peguam Negeri, dahulu dan sekarang, menyokong permohonan Sabah Law Society. Lebih daripada itu, seperti dinyatakan oleh mantan Presiden SLS, Saudara Roger Chin, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah banyak membantu dengan memberikan rekod-rekod pembayaran, sejarah dan sebagainya.
Ini bukan kenyataan orang politik. Ini kenyataan daripada persatuan itu sendiri. Orang yang paling tahu siapa yang membantu persatuan ialah persatuan itu sendiri.
Saya cuma ahli biasa. Sebagai seorang peguam, saya ahli biasa. Tapi ahli jawatankuasa eksekutif, presiden, mantan presiden dan ahli komiti mereka tahu siapa yang telah membantu. Datuk Roger Chin menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah membantu dan mereka berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana membantu.
Ini kenyataan, ini fakta. Bukan spin, bukan cakap orang politik. Setahu saya, Datuk Roger Chin bukan orang politik katanya.
Perintah Mahkamah dan Harapan ke Hadapan
Mengulas lanjut keputusan Mahkamah Tinggi, Ansari menjelaskan bahawa hakim telah mengeluarkan perintah mandamus, yang mewajibkan kerajaan Persekutuan melaksanakan peruntukan Perkara 112D dan mengadakan semakan lima tahun sekali.
“Apa-apa bayaran seperti peruntukan RM600 juta dalam bajet terkini telah diisytiharkan tidak sah dan terbatal,” jelasnya.
Sekiranya tiada rayuan daripada kerajaan Persekutuan, katanya, langkah seterusnya ialah menetapkan satu timeline jelas untuk rundingan dan pelaksanaan bersama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
“Jika tiada persetujuan, perlembagaan membenarkan pelantikan arbitrator antarabangsa untuk menentukan formula yang adil,” katanya.
Namun beliau turut mengingatkan bahawa satu klausa dalam Perlembagaan menyatakan pelaksanaan hak ini tertakluk kepada “situasi kewangan kerajaan Persekutuan”.
Kewangan Kunci Masa Depan Sabah
Menurutnya, sekiranya formula yang adil dapat dipersetujui, Sabah akan memiliki keupayaan kewangan mencukupi untuk menyelesaikan pelbagai masalah asas.
“Kalau cukup kewangan, masalah infrastruktur, air, elektrik dan pembangunan asas lain dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun. Itu harapan saya,” katanya.