Read Time:1 Minute, 14 Second
Oleh Silar Pinikit
KENINGAU: Setelah sekian lama menunggu, penduduk Kampung Gaulan akhirnya boleh menarik nafas lega apabila Jalan Bolod yang rosak teruk sejak bertahun-tahun kini dibaiki hasil inisiatif penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman.
Kerja penyelenggaraan itu mendapat sambutan positif daripada masyarakat setempat yang menghargai keprihatinan dan tindakan pantas Annuar menyelesaikan isu tersebut.
“Ramai yang menggunakan jalan ini setiap hari, termasuk anak-anak ke sekolah dan penduduk ke kebun.
“Dengan pembaikan ini, perjalanan mereka kini lebih selamat dan selesa,” kata Annuar ketika ditemui selepas meninjau kerja penyelenggaraan itu.
Menurutnya, projek kecil seperti ini membawa makna besar kepada rakyat luar bandar kerana ia menyentuh keperluan asas mereka.
“Bagi saya, khidmat kepada rakyat tidak berhenti walaupun tanpa gelaran. Apa yang penting, tindakan yang memberi manfaat terus kepada masyarakat,” katanya.
Penduduk kampung pula melahirkan rasa syukur dan kagum dengan semangat Annuar yang tetap turun padang walaupun bukan lagi bergelar wakil rakyat.
“Beliau bukan jenis pemimpin yang hanya bercakap. Bila ada masalah, terus cari jalan penyelesaian. Inilah pemimpin yang kami mahu,” ujar seorang penduduk yang ditemui.
Ramai turut menyuarakan harapan agar Annuar terus menjadi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Liawan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, memandangkan rekod beliau yang konsisten mendahulukan kepentingan rakyat.
Annuar merupakan antara lima ADUN Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang kekal bersama GRS selepas Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee, menarik diri daripada gabungan itu. – SABAH MEDIA