Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Ambil kira realiti, keperluan di Sabah dalam proses pengambilan guru – Azrul

Read Time:1 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Proses pengambilan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) gred DG9 secara lantikan kontrak di seluruh negara perlu dilaksanakan secara lebih strategik dan bersasar, dengan mengambil kira realiti serta keperluan khususnya di negeri Sabah.

Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Azrul Ibrahim berkata, ia termasuklah berkaitan isu kekurangan guru tempatan dan cabaran pendidikan di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan keperluan tenaga pengajar di Sabah dapat dipenuhi secara mampan dan berterusan.

Menurutnya, pengambilan guru tempatan bukan sahaja membantu mengatasi isu kekurangan tenaga pengajar, malah mampu meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan kerana mereka lebih memahami konteks sosio-budaya, geografi serta cabaran setempat.

“Guru yang berasal dari Sabah lebih mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah dan komuniti, sekali gus dapat menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Katanya, keutamaan kepada anak jati Sabah juga dapat mengurangkan isu mobiliti guru, termasuk masalah pertukaran kerap dan kekosongan jawatan, yang sering menjejaskan kelangsungan pembelajaran murid terutamanya di kawasan pedalaman.

Dalam pada itu, Azrul menegaskan bahawa pendekatan pengambilan guru yang bersasar ini selari dengan keperluan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, selain persediaan kemasukan murid Tahun Satu pada tahun hadapan.

“Pelaburan besar kerajaan dalam sektor pendidikan perlu diterjemahkan kepada impak sebenar di peringkat akar umbi.

“Mengutamakan anak jati Sabah adalah antara langkah strategik untuk memastikan keberkesanan dasar pendidikan negara,” katanya.

Beliau percaya bahawa langkah tersebut bukan sahaja memperkukuh sistem pendidikan di Sabah, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan tempatan serta kesejahteraan jangka panjang rakyat di negeri ini. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE