Read Time:1 Minute, 35 Second
KOTA KINABALU : Pembantu ketua jurulatih Sabah FC Alto Linus akan menggalas tanggungjawab sebagai pemangku ketua jurulatih dan mengetuai pasukan itu dalam beberapa perlawanan akan datang.
Perkara itu diumumkan Pengurus Besar Sabah FC Mohd Joh Wid susulan peletakan jawatan Ketua Jurulatih Sabah FC Jean Paul (JP) de Marigny Khamis lalu.
Joh berkata setakat ini belum ada nama yang diputuskan untuk menggantikan JP, namun beberapa cadangan telah diterima dan pihak kelab masih terbuka kepada calon lain yang berminat.
Katanya, tempoh dua minggu atau 14 hari telah diperuntukkan bagi membolehkan penilaian dilakukan secara menyeluruh.
“Buat masa ini, kita tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan kerana masih mempunyai tempoh sekitar 14 hari untuk menilai dan memilih pengganti yang sesuai.
“Dalam tempoh ini juga, Alto akan mengetuai barisan jurulatih dan mengendalikan beberapa perlawanan pasukan, termasuk perlawanan pertama DPMM FC, sebelum keputusan muktamad dibuat,” katanya.
Menurutnya, tempoh itu adalah selaras dengan peraturan yang ditetapkan bagi membolehkan pemangku ketua jurulatih menjalankan tugas sementara.
“Kita akan menggunakan tempoh ini sebaik mungkin untuk membuat penilaian menyeluruh sebelum memutuskan siapa yang akan menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih,” tambahnya.
Khamis lalu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Jean-Paul de Marigny dilaporkan meletak jawatan sebagai pengendali skuad Sang Badak berkuatkuasa serta merta.
Berita itu berdasarkan perkongsian ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap pengendali dari Australia itu yang dimuat naik di akaun Facebook Sabah FC.
“Walaupun perjalanan kamu dengan Sang Badak sangat singkat, impaknya sangat bermakna. Terima kasih Coach atas kepimpinan, kerja keras dan pengaruh positif yang diberikan kepada pasukan.
“Kami benar-benar menghargai segala yang kau berikan. Kamu sentiasa dialu-alukan untuk kembali semula ke sini. Didoakan yang terbaik untuk kamu. Ponsikou, kotohuadan (terima kasih),” kata perkongsian di akaun Facebook Sabah FC.
Walaupun Sang Badak kurang menyerlah sejak bermula Liga Super musim ini, namun de Marigny berjaya membawa Sabah ke saingan akhir Piala FA 2025 bertemu Johor Daru Ta’zim (JDT) pada Ahad lalu. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC






