Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 Berkuat Kuasa 1 Jun

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan berkuat kuasa lebih awal iaitu pada 1 Jun 2026, sebagai langkah memperkukuh perlindungan pengguna serta mewujudkan ekosistem kredit yang lebih telus dan adil.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pindaan tersebut merupakan antara fokus utama agenda gerakan kepenggunaan tahun ini yang memberi penekanan kepada reformasi undang-undang berkaitan hak dan kepentingan pengguna.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 yang diraikan pada 15 Mac setiap tahun dengan tema “Suara Kita, Kuasa Kita”, sekali gus menjadi teras kepada usaha memperkasa kesedaran serta penyertaan awam dalam mempertahankan hak pengguna.

Menurutnya, sambutan peringkat kebangsaan tahun ini berlangsung di Suria Sabah Mall, Kota Kinabalu dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Antara pengisian utama sambutan tersebut termasuk reruai informasi, sesi advokasi kepenggunaan serta Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) dengan penglibatan rakan strategik seperti Shopee, TikTok, PGMall dan Pasar Raya Bataras.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Armizan berkata pindaan Akta Sewa Beli 1967 yang dilaksanakan pada 2026 bertujuan memodenkan perjanjian sewa beli serta memastikan prinsip keadilan kredit pengguna dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Menurutnya, antara perubahan utama ialah pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (rule of 78) yang sebelum ini menyebabkan sebahagian besar bayaran awal ansuran digunakan untuk membayar faedah, sekali gus membebankan peminjam yang ingin membuat penyelesaian awal.

“Sebagai gantinya, pindaan baharu memperkenalkan Kaedah Pengurangan Baki (reducing balance method) dan Kadar Faedah Efektif (effective interest rate) bagi pinjaman sewa beli berkadar tetap, di mana faedah dikira berdasarkan baki pinjaman semasa.

“Melalui kaedah ini, proses penyelesaian awal pinjaman menjadi lebih telus dan adil kepada pengguna,” katanya.

Selain itu, pindaan tersebut turut menyokong transformasi digital dengan membenarkan penggunaan tandatangan serta penyerahan dokumen secara elektronik dalam perjanjian sewa beli, di samping memperkenalkan keperluan usaha wajar bagi pengesahan identiti peminjam bagi mengurangkan risiko penipuan.

Beliau berkata ketika rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen, tempoh peralihan asal yang dicadangkan ialah 18 bulan selepas diwartakan. Bagaimanapun, selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen yang menggesa pelaksanaan lebih awal, kerajaan memutuskan akta tersebut dikuatkuasakan pada 1 Jun 2026, iaitu empat bulan selepas ia diwartakan pada 30 Januari 2026.

Tambah beliau, penyedia perkhidmatan sewa beli yang memerlukan masa boleh menggunakan tempoh peralihan bagi menyesuaikan sistem, dokumentasi dan proses operasi dengan keperluan baharu.

Sementara itu, institusi perbankan melalui Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) turut mengumumkan pemberian diskaun ihsan (goodwill discount) bermula 1 Jun 2026.

Diskaun tersebut akan diberikan kepada pelanggan yang masih berada di bawah kaedah lama, iaitu kadar faedah sama rata dan Peraturan 78, sekiranya mereka memilih untuk membuat penyelesaian awal pinjaman.

Langkah itu bertujuan memastikan baki pinjaman pelanggan lama setara dengan pelanggan baharu yang memasuki perjanjian sewa beli berasaskan Kadar Faedah Efektif dan Kaedah Pengurangan Baki di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026.

Armizan berkata reformasi undang-undang itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus industri kredit pengguna, di samping melindungi hak dan kepentingan rakyat di seluruh negara.

LEAVE A RESPONSE