Read Time:1 Minute, 7 Second
KUALA TERENGGANU: Penyerang import Sabah FC Adjin Mujagic muncul wira apabila meledak dua gol untuk memastikan skuad The Rhinos meraih kemenangan bergaya 3-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.
Mujagic menjadi pemusnah harapan tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua Sabah menerusi tandukan pada minit ke-73 sebelum melengkapkan kemenangan Sang Badak dengan sepakan penalti pada minit ke-88.
Perlawanan bermula dengan tekanan Terengganu yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-34 hasil sentuhan Akhyar Rashid untuk meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan 1-0.
Namun Sabah tidak menunggu lama untuk bangkit apabila Fergus Tierney menanduk masuk hantaran Miguel Cifuentes sebelum tamat separuh masa pertama bagi menyamakan kedudukan 1-1.
Kebangkitan itu diteruskan pada babak kedua apabila Mujagic memanfaatkan hantaran lintang Tierney untuk menewaskan penjaga gol Terengganu, sekali gus meletakkan Sabah di hadapan.
Gol ketiga Sabah hadir lewat perlawanan apabila Mujagic tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas hantaran Cifuentes terkena tangan pertahanan tuan rumah, Diego Landis.
Kemenangan itu menyaksikan Sabah FC mengutip tiga mata berharga sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan menjelang pusingan kedua Liga Super, manakala Terengganu FC terpaksa akur dengan kekalahan di hadapan penyokong sendiri.
Terengganu kekal di tangga kelima liga dengan 18 mata selepas 12 perlawanan, sementara Sabah berada di kedudukan kelapan dengan 13 mata. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC






