Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

AKPS perkukuh kawalan sempadan, sedia capai operasi penuh 2026

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA BELUD : Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS) kini berada pada landasan yang kukuh dalam usaha memperkemas pengurusan kawalan pintu masuk negara dan disasar beroperasi sepenuhnya menjelang 1 Januari 2026.

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, AKPS kini sedang melalui fasa pertama pelaksanaan, manakala fasa kedua akan bermula dengan pengambilalihan 125 pintu masuk antarabangsa secara berperingkat.

Katanya, pada masa ini sebanyak 22 pintu telah diambil alih dan 103 lagi akan menyusul tidak lama lagi.

“Fasa pertama sedang berjalan lancar. Dalam fasa kedua nanti, kita akan mula menguruskan semua pintu masuk ini sepenuhnya.

“Mesyuarat strategik bersama Ketua Setiausaha Negara telah menetapkan agar pelan tindakan AKPS disiapkan untuk dibentangkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, sebagai langkah mempercepatkan dan memperkukuh struktur operasi agensi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Benteng Persada: Dari Sempadan Ke Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad di sini pada Jumaat.

Shuhaily berkata, satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan pada minggu kedua November melibatkan pelbagai agensi utama.

Katanya, ia termasuklah Kementerian Dalam Negeri (KDN); Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi membincangkan strategi sumber manusia, aset dan tatacara kerja di bawah AKPS.

“Dengan dukungan padu enam agensi teras, kita yakin sasaran untuk mencapai operasi penuh pada Januari 2026 akan dapat direalisasikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa membangunkan sistem kawalan sempadan yang kukuh memerlukan masa, kesabaran dan disiplin.

“Untuk makluman, Australia dan Singapura mengambil masa hampir 10 tahun untuk menstabilkan agensi sempadan mereka. AKPS baru 12 bulan ditubuhkan — ibarat bayi yang masih belajar berdiri,” jelasnya.

Beliau turut menyeru rakyat agar menghormati peraturan pemeriksaan sempadan kerana ia melambangkan maruah dan kedaulatan negara.

“Kita perlu tunjuk contoh. Kalau rakyat sendiri tidak hormat undang-undang sempadan, bagaimana kita mahu menegakkannya kepada warga asing?” katanya.

Jelas beliau, AKPS berperanan bukan sekadar menyemak pasport atau kawalan keluar-masuk, tetapi membina keyakinan antarabangsa terhadap ketegasan Malaysia dalam menjaga sempadan negara.

“Kita mahu sempadan Malaysia dihormati. Proses pemeriksaan bukan untuk menyusahkan, tetapi untuk melindungi rakyat dan negara,” tegasnya.- SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

LEAVE A RESPONSE