Read Time:2 Minute, 8 Second
PUTRAJAYA, – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) terus diperkukuh sebagai agensi penguatkuasaan strategik negara menerusi pembentukan budaya kerja cemerlang, pemantapan integriti serta penggunaan teknologi moden bagi mengawal pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penegasan Perdana Menteri minggu lalu mengenai keperluan agensi penguatkuasaan meningkatkan prestasi dan memberi keutamaan kepada tugas hakiki telah menjadi asas kepada penganjuran sesi libat urus dalaman AKPS hari ini.
Beliau berkata sesi berkenaan bertujuan menyampaikan secara langsung hala tuju dan penegasan kepimpinan tertinggi negara agar dapat difahami serta dihayati oleh seluruh anggota AKPS di semua peringkat.
“AKPS baru memasuki usia penubuhan ke-13 bulan. Ini adalah fasa terbaik untuk kita membentuk budaya kerja yang baik, selari dengan aspirasi yang dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya di majlis libat urus Menteri Dalam Negeri bersama warga AKPS di Putrajaya hari ini.
Menurut Saifuddin, sesi libat urus itu juga merupakan platform untuk menyampaikan jangkaan serta pengharapan beliau dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap prestasi agensi yang masih muda itu.






Beliau berkata AKPS telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan, termasuk nilai rampasan melebihi RM82 juta serta kelancaran proses peralihan operasi kawalan sempadan, bermula dengan pembukaan fasiliti ICQS dan penugasan awal di Rantau Panjang.
“Walaupun AKPS menghimpunkan enam teras utama daripada puluhan agensi kawal selia, peralihan tanggungjawab berjalan dengan sangat lancar tanpa sebarang gangguan besar sehingga menjejaskan operasi pintu masuk negara,” katanya.
Sementara itu, menurut Saifuddin lagi berkata antara komitmen utama KDN terhadap AKPS ialah menambah baik Akta AKPS, termasuk membuat pindaan segera jika perlu, selain melengkapkan agensi itu dengan teknologi kawalan sempadan yang lebih bersepadu.
Beliau turut berkata AKPS akan menjadikan beberapa agensi kawalan sempadan antarabangsa sebagai penanda aras, antaranya Australia Border Force, Immigration and Customs Authority serta United States Border Protection.
“Dengan kepimpinan yang jelas di bawah Ketua Pengarah, Datuk Suhaily, struktur organisasi yang tersusun, undang-undang yang mantap, sumber manusia terlatih dan sokongan teknologi, saya yakin AKPS berada di landasan yang betul,” katanya.
Mengulas isu integriti, Saifuddin berkata AKPS sentiasa terbuka menerima pandangan masyarakat dan menjadikan aspek itu sebagai fokus keutamaan, termasuk kajian melalui penubuhan unit pengintipan dan perisikan sendiri.
Beliau berkata sebelum ini AKPS bergantung kepada elemen perisikan daripada agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, namun kini agensi itu perlu memiliki unit sendiri yang selari dengan budaya kerja AKPS.
“Maklumat tidak datang bergolek. Kita perlu strategi, perancangan dan ketepatan risikan kerana ia menentukan kejayaan sesuatu operasi,” katanya, sambil menegaskan pihak kementerian memberi sepenuh kepercayaan kepada Ketua Pengarah AKPS untuk melaksanakan rekrutmen bersesuaian dengan fungsi agensi katanya.






