Read Time:1 Minute, 29 Second
PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, akan terus memantau pelaksanaan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon 2 bagi memastikan ia siap mengikut jadual pada penghujung tahun 2026.
Beliau berkata, projek berkenaan amat penting bagi menambah dan menstabilkan bekalan air di seluruh Parlimen Papar termasuk kawasan utara Parlimen Kimanis serta selatan Parlimen Putatan.
“Pengoperasian LRA Kogopon 2 kelak akan menambah kapasiti rawatan sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap isu gangguan bekalan air yang sebelum ini menjejaskan penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, sebelum ini kawasan terlibat berdepan gangguan bekalan kritikal bermula penghujung Disember 2025, namun langkah intervensi segera berjaya dilaksanakan dengan meningkatkan kapasiti rawatan LRA Kogopon sedia ada sebanyak 10 peratus bersamaan empat JLH.
“Kerja-kerja menaik taraf pam serta saluran paip ke tangki utama P3 di Kampung Kawang telah disiapkan dalam tempoh dua minggu dan kini bekalan air bagi Mukim Kinarut termasuk Kampung Kawang telah stabil serta tidak lagi tertakluk kepada jadual catuan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Setiausaha Kerajaan Negeri serta warga Jabatan Air Negeri Sabah khususnya Jabatan Air Papar atas usaha berterusan menyelesaikan isu rakyat di kawasan terkesan.
Terdahulu, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup tiba dari Putrajaya petang tadi terus ke Kampung Kawang untuk bersama penduduk dalam Program Sentuhan Kasih & Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Katanya, menerusi penganjuran PJRM, orang ramai berpeluang mendapatkan barangan keperluan harian dengan diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
“Penganjuran PJRM di Kampung Kawang ini adalah salah satu daripada 1,898 siri yang diadakan sepanjang bulan Ramadan di seluruh negara,” katanya.
Orang ramai boleh mengakses takwim PJRM bagi mengetahui tarikh dan lokasi terdekat menerusi pautan rasmi https://pjrm.kpdn.gov.my.






