KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun pada Khamis menerima kunjungan hormat daripada Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) di pejabatnya di sini.
Kunjungan tersebut bertujuan bagi memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan SCC.
Dalam pertemuan itu, Masidi yang juga Menteri Kewangan turut diberi taklimat mengenai prestasi semasa SCC, hala tuju perbadanan tersebut serta peranan berterusan SCC dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri yang inklusif.
Dalam pertemuan itu, Masidi turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi SCC, Datuk Rusdin Riman, atas pelantikannya.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa pengerusi baharu SCC mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan serta terus memperkukuh peranan SCC dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Masidi turut menzahirkan penghargaan atas komitmen SCC dalam membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah dan menegaskan kepentingan tadbir urus yang baik serta pengurusan kewangan yang berhemah bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak positif kepada kesejahteraan rakyat.
Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Ishak Ayub, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair dan Ketua Pegawai Eksekutif SCC, Datuk George Taitim Tulas.





