KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu mengangkat sumpah jawatan sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, pada Isnin.
Majlis angkat sumpah yang bermula pada jam 10 pagi itu disempurnakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sejurus selepas itu, Anil yang memenangi kerusi Dewan Undangan Undangan (DUN) Kunak pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 menandatangani dokumen pelantikan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sabah, Celestina Stuel Galid.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.






