Read Time:3 Minute, 0 Second
RANAU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, yakin akan terus diberi kepercayaan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, keyakinan itu disandarkan kepada beberapa siri pertemuan dengan pimpinan tertinggi GRS, termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun.
“Beberapa pertemuan dengan YAB Ketua Menteri dan Setiausaha Agung GRS memberi keyakinan kepada kita bahawa saya akan menjadi calon GRS di DUN N.38 Paginatan. Itu yang pasti,” katanya.
“Dengan penjelasan ini, saya berharap tidak ada lagi keraguan dalam kalangan penyokong sama ada saya calon atau tidak. Kita akan teruskan usaha dan menguatkan momentum untuk menjangkau lebih ramai pengundi di seluruh pelusuk Paginatan bagi memastikan kemenangan GRS,” katanya semasa Majlis Ramah Mesra Pengerusi JKKK bersama Datuk Abidin Madingkir yang diadakan di Markas DAM Lohan Ulu, baru-baru ini.
Abidin turut menjelaskan pendiriannya kekal bersama GRS meskipun parti lamanya meninggalkan gabungan itu pada saat akhir.
“GRS diwujudkan untuk kebaikan rakyat Sabah dan hasil gabungan parti-parti tempatan. Kita sudah bina rumah bersama, mengapa harus dirobohkan?
“Selama lima tahun kita berusaha menaikkan nama parti dalam GRS. Jadi apabila keputusan dibuat untuk meninggalkan gabungan ini, kami tidak dapat bersetuju,” katanya.
Tambah beliau, kesungguhan GRS dalam melaksanakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) jelas membuahkan hasil dengan pelaksanaan pelbagai program rakyat, termasuk Perumahan SMJ, bantuan tunai RM300 sebulan kepada lebih 100,000 penerima e-Kasih, serta bantuan persekolahan dan program kebajikan lain.
Katanya, kestabilan politik di bawah Kerajaan GRS Plus sejak lima tahun lalu turut meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan asing dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Mengulas isu yang dibangkitkan oleh Pemaju Mukim Suminimpod mengenai masalah jalan ke Kampung Kitaie dan Kampung Longut, Abidin berkata perkara itu telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya Sabah untuk tindakan penyelenggaraan.
Beliau juga memberi jaminan bahawa Program Penyukatan PANTAS akan dilaksanakan di Mukim Suminimpod sekiranya GRS terus diberi mandat selepas PRN akan datang.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya GRS N.38 Paginatan, Hishamudin Harun, mengalu-alukan kehadiran lebih 80 peratus Pengerusi JKKK DUN Paginatan (seramai 94 orang) di majlis berkenaan.
“Kita juga mengalu-alukan kehadiran Datuk Abidin, bakal calon GRS Paginatan pada PRN akan datang. Terima kasih atas kebersamaan beliau dengan para Pengerusi JKKK,” katanya.
“Gerak kerja beliau ‘diam-diam ada hasil’. Walaupun tidak diwar-warkan, rakyat tahu apa yang beliau sudah lakukan di setiap pelusuk kawasan,” tambahnya.
Hishamudin turut memaklumkan bahawa tunggakan elaun Pengerusi JKKK selama tujuh bulan telahpun diselesaikan hasil usaha Datuk Abidin.
Katanya lagi, cadangan penubuhan empat buah kampung baharu di DUN Paginatan kini sedang dalam proses kelulusan.
“Kita berharap kampung-kampung ini dapat diiktiraf dan mempunyai Pengerusi JKKK sendiri selepas PRN nanti. Para Pengerusi JKKK sedia ada juga akan diteruskan sekiranya GRS kekal sebagai kerajaan,” katanya.
Dalam majlis yang turut dihadiri Pegawai Khas Datuk Abidin, Juis Konsuling, semua Pemaju Mukim DUN N.38 Paginatan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Abidin dan berikrar untuk bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan GRS di kawasan itu.
Kesemua Pemaju Mukim Sainin Hamid (Pegawai Penyelia Masyarakat), Duhimin Gilong (Lohan/Bongkud), Sibin Keidau (Suminimpod), Lasius Golipoi (Tanah Rata), Hillary Salmoen (Nalapak), Yairman Anjingin (Paginatan) dan Josini Maston (Paus) turut menyifatkan trek rekod Abidin sebagai yang terbaik pernah ada di kawasan berkenaan.
Dalam ucapannya, Abidin mengingatkan semua Pengerusi JKKK agar menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.
“Tanggungjawab Pengerusi JKKK adalah memperbetulkan maklumat tidak tepat yang digembar-gemburkan oleh pihak lawan. Sentiasa pastikan info yang disebarkan kepada rakyat tepat, terutama mengenai pencapaian Kerajaan GRS sepanjang lima tahun mentadbir Sabah,” katanya.






