Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Abidin seru rakyat Paginatan kekalkan sokongan kepada GRS

Read Time:1 Minute, 35 Second

RANAU : Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir, menyeru rakyat di kawasan itu untuk terus memberikan mandat baharu kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17) akan datang.

Katanya, kestabilan politik merupakan kunci utama dalam mengekalkan momentum pembangunan yang dicapai menerusi pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak lima tahun lalu.

“Kestabilan politik amat penting untuk mengekalkan momentum pembangunan yang telah kita nikmati sejak lima tahun lalu melalui pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya menggesa supaya kita terus menyokong pelan pembangunan SMJ 2.0 kerana ia terbukti memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Abidin berkata demikian ketika menghadiri Program Santai-Santai Bersama Penduduk Kampung Niasan, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama dalam program itu ialah Pegawai Khas Datuk Abidin Madingkir, Juis Konsuling, CDO Jipili Sigal, Ketua Pemuda GRS Paginatan Hillary Salmoen, serta para pemimpin setempat.

Beliau berkata, hasil pentadbiran stabil di bawah Kerajaan GRS bersama Pakatam Harapan (PH) dalam tempoh lima tahun lalu telah berjaya meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan asing, serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Antara pencapaian ketara yang dinikmati penduduk Paginatan termasuklah lebih 1,000 geran tanah dikeluarkan menerusi Program PANTAS, melibatkan pengukuran lebih 6,000 ekar tanah.

Selain itu, pemindahan tiga kampung iaitu Kg Ponulangon, Kg Walou, dan Kg Kanawahon – daripada kawasan hutan simpan dan pelancaran Pekan Baru Paginatan oleh Ketua Menteri Sabah sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan luar bandar.

Peningkatan kuota Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di beberapa kawasan Baharu turut berjaya dilaksanakan.

Abidin turut menegaskan komitmen beliau untuk meneruskan Program PANTAS dengan kerjasama Pejabat Pengarah Tanah dan Ukur (PPHT) Ranau, melibatkan perbincangan bersama penduduk di Kg Tinanom, Kg Kodop Baru dan Kg Kigiwit.

“Pemberian geran tanah amat bermakna bagi rakyat di sini. Oleh itu, sokongan padu daripada semua penduduk Paginatan sangat diperlukan untuk meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah dirancang,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE