Read Time:1 Minute, 26 Second
RANAU: Rakyat perlu memastikan setiap calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 menang dan tiada satupun yang kecundang.
Penyandang kerusi DUN N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkit berkata, tidak ada gunanya kalau salah satu daripada calon GRS kecundang ataupun satu saja yang memenangi manakala yang lain kecundang.
“Kita ingin menegaskan bahawa setiap kerusi adalah penting kerana ia akan dapat menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan yang akan datang. Dan masa depan rakyat bergantung erat pada hakikat ini.
“Jadi saya menyeru kepada semua rakyat, khususnya di DUN Paginatan ini yang akan keluar mengundi pada 29 November nanti untuk memberi sokongan kepada GRS,” katanya.
Beliau yakin bahawa dengan adanya sokongan padu dari akar umbi, tidak mustahil bahawa GRS akan mampu mengekalkan kepimpinan negeri ini dan seterusnya merealisasikan semua pelan pembangunan yang telah dirancang.
Abidin berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama penduduk di Kg Maukab Baru yang diadakan di sini baru-baru ini.
Beliau berterima kasih kepada kepimpinan Pemuda GRS di mana baru-baru ini beliau dan juga penyandang kerusi DUN Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam telah dijemput dan memberi sepatah dua kata kepada pasukan anak muda.
Dalam pada itu, beliau berkata, masih ramai yang masih keliru tentang kedudukan politik sebenar beliau dan menjelaskan bahawa beliau bukan lagi ahli parti StarSabah.
“Sebelum ini, dalam Star ada enam wakil rakyat yang terdiri daripada Presiden, dua Timbalan Presiden dan beberapa Naib Presiden. Apabila Star dan SAPP keluar GRS, kami berlima tidak mengikuti keputusan yang telah ditetapkan oleh pimpinan parti, sebaliknya mengekalkan posisi kita bersama GRS,” katanya.
Turut hadir di majlis itu, Timbalan Ketua Bahagian PBS N38 Paginatan Faustine Thomas, CDO Jipili Sigal dan Timbalan Pengerusi Pemuda GRS Ranau, Sutiman Kandaran.






