Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Abidin seru penyokong STAR ‘pulang ke rumah GRS’

Read Time:3 Minute, 2 Second

RANAU: Penyokong Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang tinggal di daerah ini digesa untuk beralih sokongan kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada hari Sabtu nanti.

Calon GRS untuk N38 Paginatan, Datuk Abidin Madingkir berkata, sudah tiba masanya untuk baki penyokong yang pernah menjadi penyokong tegarnya sendiri untuk pulang ke rumah GRS yang juga dibina oleh STAR selama lima tahun yang lalu.

“Kamu ada tempat di sini dan di sinilah kamu benar-benar sepatutnya tinggal. Ini adalah rumah yang kita bina bersama selama lebih kurang lima tahun, dan ini adalah tempat yang sepatutnya. Kembalilah ke rumah dan marilah kita teruskan apa yang kita mulakan,” katanya.

Abidin berkata, GRS adalah satu-satunya jalan ke hadapan yang dapat menjamin masa depan yang lebih cerah dan baik untuk anak-anak Sabah, di mana asas yang kukuh telah pun terjalin pada penggal sebelum ini.

“Melalui agenda Sabah Maju Jaya, kita bersama-sama telah membuktikan bahawa Sabah makmur. Ini tidak terhenti, ini meletakkan asas untuk masa depan yang lebih makmur jika GRS diberi mandat oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata apabila STAR keluar dari GRS pada saat-saat akhir sebelum pembubaran dewan undangan negeri, ia juga mematahkan hatinya kerana itu bermakna rakyat akan berpecah belah.

Beliau berkata, beliau juga pernah menjadi pemimpin STAR dan memegang jawatan dan pangkat tinggi dalam parti, tetapi apabila atasan memutuskan untuk keluar dari GRS, beliau tahu apa keputusan yang tepat untuk diambil.

Walau bagaimanapun, selepas hampir dua minggu berkempen, beliau berkata ramai penyokong dari parti lama telah tampil dan memberi sokongan kepada visi dan misi GRS Paginatan.

Ke arah itu, beliau menggesa dan dengan ikhlas mengingatkan semua penyokongnya sebelum ini, terutamanya mereka yang masih mempertimbangkan jalan ke hadapan, untuk meletakkan kepercayaan mereka kepada GRS dan mengundi calon parti itu pada pagi Sabtu.

Abidin berucap semasa siri kempennya untuk PRU-17 yang diadakan di Mini Dewan Kg Kilimu pada Khamis. Turut hadir Ketua PBS Paginatan, Datuk Arthur Sen dan Ketua Gagasan Rakyat Paginatan, Datuk Amisah Yassin.

Sementara itu, beliau turut menyangkal dakwaan daripada calon pembangkang yang diedarkan sepanjang tempoh berkempen, yang antara lain mengatakan bahawa beliau jarang turun padang dan tidak tahu bekerja.

“Ini seperti yang diketahui ramai, semuanya pembohongan dan penduduk kampung di sini semua kenal siapa saya kerana kita sering bertemu antara satu sama lain setiap minggu apabila saya tidak terikat dengan kerja di pejabat. Ini hanyalah permainan retorik yang dimainkan oleh pembangkang,” katanya.

Di bawah pentadbiran GRS, katanya, kestabilan kerajaan telah memastikan pencapaian ekonomi Sabah kukuh, dengan rizab negeri kini mencecah RM8.6 bilion.

“Pelbagai inisiatif juga telah mampu dilaksanakan untuk rakyat, termasuk insurans percuma, bantuan RM300 kepada ketua isi rumah serta banyak lagi,”katanya.

Katanya, GRS ikhlas memastikan Sabah terus maju melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Menurut beliau, antara pencapaian yang amat signifikan ialah; Pengeluaran lebih 1,000 geran tanah melalui Program Pantas yang melibatkan pengukuran lebih 6,000 ekar keluasan tanah; mengeluarkan Kg Ponulangon, Walou dan Kg Kanawahon daripada hutan simpan; Pelancaran Pekan Baru Paginatan yang disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sabah baru-baru ini sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memajukan kawasan kampung; dan menambah kuota Jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK di beberapa kampung yang sudah diujudkan.

“Kesinambungan kepada Program Pantas, kita telah perbincangan dengan PPHT Ranau dengan penduduk Kg Tinanom, Kg Kodop Baru dan Kg Kigiwit pada baru-baru ini untuk pelaksanaan Program Pantas tersebut.

“Kita komited untuk meneruskan Program Pantas ini kerana kita amat sedar bahawa memiliki satu geran tanah adalah amat bermakna dan berharga kepada kita.

“Oleh sebab itu, sokongan padu daripada semua rakyat Paginatan amat-amat diperlukan demi kesinambungan pembangunan yang sudah dirancang,” katanya.

LEAVE A RESPONSE