Oleh Silar Pinikit
NABAWAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, dipercayai telah mendapat isyarat awal daripada pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijadual berlangsung pada 29 November depan.
Perkara itu dapat dilihat melalui mesyuarat urusetia Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Nabawan yang diadakan bagi membincangkan persiapan awal menjelang hari penamaan calon pada 15 November ini.
Mesyuarat berkenaan berlangsung pada Khamis di Dewan Kampung Malampoi yang disewa sebagai pusat jentera pilihan raya GRS DUN Nabawan.
Setiausaha Gagasan Rakyat Nabawan, Anthony Amin, yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, tumpuan diberikan kepada persiapan hari penamaan calon dan strategi gerakan kempen akan datang.
Beliau turut membayangkan bahawa Abdul Ghani, yang juga penyandang kerusi DUN Nabawan, berkemungkinan besar akan dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN ke-16 tahun 2020.
Bagaimanapun katanya, perkara itu hanya akan disahkan selepas pengumuman rasmi senarai calon oleh Presiden parti.
Pada PRN Sabah ke-16 lalu, Abdul Ghani memenangi kerusi DUN Nabawan dengan majoriti 2,238 undi, menewaskan tiga calon lain.