Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

46 pelajar etnik Bisaya terima Dana Pendidikan, Anugerah Kecemerlangan PBBS

Read Time:1 Minute, 21 Second

BEAUFORT: Seramai 46 pelajar dari masyarakat etnik Bisaya yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 menerima Dana Pendidikan dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar menerusi inisiatif Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS).

Penyampaian bantuan itu disempurnakan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Ruslan Muharam sempena Sambutan Perayaan Adau Janang Gayuh 2026.

Majlis itu berlangsung di Dewan Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir, di sini, baru-baru ini.

Ruslan yang juga Presiden PBBS berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha PBBS untuk membantu anak-anak masyarakat Bisaya mendapatkan sokongan pendidikan, selain menyuntik semangat mereka agar terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.

Beliau berkata, program itu juga menjadi antara inisiatif pertama PBBS dalam era kepimpinannya sebagai presiden dengan memberi penekanan kepada pembangunan pendidikan dan kebajikan ahli persatuan.

Menurutnya, bantuan berkenaan diharap dapat mendorong lebih ramai generasi muda masyarakat Bisaya untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta meningkatkan pencapaian dalam bidang pendidikan.

Beliau menjelaskan, penerima Dana Pendidikan itu disyaratkan menjadi ahli PBBS sebagai usaha memastikan sumbangan persatuan dapat disalurkan secara langsung kepada ahli dan keluarga mereka.

“Selama ini masyarakat ingin melihat apakah sumbangan persatuan kepada masyarakat Bisaya. Melalui inisiatif ini, kita mahu PBBS memainkan peranan yang lebih nyata dalam membantu ahli, khususnya anak-anak yang masih menuntut ilmu,” katanya.

Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada komitmen PBBS membangunkan modal insan serta melahirkan generasi Bisaya yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

Program berkenaan turut diserikan dengan Pameran Pendidikan, TVET dan Kerjaya bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai peluang melanjutkan pengajian, mengikuti latihan kemahiran serta meneroka pelbagai laluan kerjaya.

LEAVE A RESPONSE