Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

KKRU pantau rapi usaha pulih bekalan elektrik Pantai Timur Sabah

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Sabah memantau rapi perkembangan usaha pemulihan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah susulan insiden tumbangnya menara penghantaran elektrik T313 di Sungai Liwagu, Kampung Sagindai, Jalan Ranau-Telupid, semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, kementerian sentiasa mengikuti perkembangan kerja-kerja pemulihan yang sedang dilaksanakan Sabah Electricity (SE) bagi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan secepat mungkin.

Joachim Gunsalam

Beliau berkata, kejadian itu berpunca daripada hakisan tapak asas menara akibat hujan berterusan dan arus deras banjir yang menghanyutkan asas kaki struktur berkenaan sehingga menyebabkannya tumbang.

Menurutnya, SE kini giat melaksanakan kerja-kerja pemulihan secara berterusan selama 24 jam, termasuk pembinaan menara penghantaran sementara menggunakan kaedah Emergency Restoration System (ERS).

” Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak SE menyasarkan tempoh enam hari untuk memulihkan bekalan elektrik sepenuhnya, manakala usaha pemulihan secara berperingkat sedang giat dilaksanakan.

“Pihak SE juga sentiasa menyalurkan maklumat terkini kepada saya mengenai perkembangan kerja-kerja pemulihan tersebut dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata, beliau memahami kesulitan yang dihadapi rakyat susulan gangguan bekalan elektrik itu, khususnya dari segi kehidupan seharian, kegiatan ekonomi, perniagaan serta penyampaian perkhidmatan awam.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk di lapan daerah terjejas, iaitu Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kinabatangan, Beluran dan Telupid supaya terus bersabar sementara usaha pemulihan dilaksanakan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas SE yang bekerja siang dan malam dalam keadaan mencabar bagi memastikan bekalan elektrik dapat dipulihkan dengan segera.

Katanya, aspek keselamatan juga perlu terus diberi keutamaan sepanjang pelaksanaan kerja-kerja pemulihan berkenaan.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan ini dengan rapi bersama pihak SE. Kepentingan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita,” katanya.

LEAVE A RESPONSE