Read Time:1 Minute, 1 Second
SEPANG : Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar mengalami kecederaan di kepala selepas tergelincir di lantai tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP KLIA.
Menerusi hantaran di Facebook, Jamawi berkata, permukaan lantai tandas yang licin menyebabkan beliau tergelincir sebelum kepalanya terhantuk pada lantai.
Beliau berkata, kecederaan dialaminya memerlukan rawatan termasuk jahitan pada bahagian kepala oleh doktor dan jururawat di Menara Medical Clinics KLIA.
Katanya, beberapa kenalan yang terserempak dengannya di lapangan terbang dalam keadaan kepala berbalut tuala berdarah turut menghubunginya bagi mengetahui kejadian sebenar.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada petugas perubatan yang memberikan rawatan kepadanya selepas insiden berkenaan.
Beliau turut menasihatkan pihak Malaysia Airports supaya mengambil langkah penambahbaikan terhadap permukaan lantai tandas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Selain itu, beliau berkata, kemudahan laluan kecemasan ke klinik berhampiran KLIA perlu disediakan, manakala kakitangan lapangan terbang wajar diberikan latihan supaya bantuan awal dapat diberikan sekiranya berlaku kecemasan.
Jamawi berkata, beliau dijadualkan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 tengah hari selepas menempuh perjalanan jauh dari Brasilia, Brazil, melalui Sao Paulo dan Doha sebelum tiba di KLIA.





