Read Time:1 Minute, 35 Second
KOTA MARUDU: Kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tandek meneruskan pendekatan turun padang dengan mendekati masyarakat setempat menerusi lawatan mesra ke Tamu Kampung Mosolog, selain menziarahi keluarga yang kehilangan ahli keluarga di Kampung Tingkalanon.
Ketua Penyelaras Gagasan Rakyat Bahagian Tandek, Datuk Dr. Janathan Kandok, bersama barisan kepimpinan parti mengadakan kunjungan itu pada 4 Oktober lalu bagi berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, khususnya peniaga, penjaja dan pengunjung tamu.
Menerusi kunjungan berkenaan, Dr. Janathan meluangkan masa beramah mesra dengan komuniti setempat, bersalaman serta bertukar pandangan dengan peniaga mengenai perkembangan aktiviti ekonomi, keperluan masyarakat dan kebajikan penduduk Kampung Mosolog serta kawasan sekitarnya.
Pendekatan berkenaan turut membuka ruang kepada masyarakat menyampaikan pandangan dan aspirasi secara langsung kepada kepimpinan parti, sekali gus memberi gambaran mengenai isu serta keperluan di peringkat akar umbi.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Tandek, Singan Lingkubang; Ketua Beliawanis, Siti Fatimah Majingkal; Pemaju Masyarakat, Helijah Haris; serta ahli jawatankuasa bahagian, Datuk George Sangkin, Datuk Abd Latiff Kandok, Ketua Anak Negeri Magimbal Ibun dan Rita Hamdan.
Kunjungan berkenaan diketuai George dan diselaraskan Magimbal. Turut hadir Tokoh Momogun Kimaragang, Oneh Latifah Osman.
Dalam perkembangan sama, Dr. Janathan turut mengadakan kunjungan ziarah ke Kampung Tingkalanon bagi menyampaikan ucapan takziah kepada sebuah keluarga yang kehilangan ahli keluarga tercinta.
Kehadiran beliau bersama rombongan kepimpinan Gagasan Rakyat Bahagian Tandek disambut ahli keluarga mendiang serta penduduk setempat.
Dalam kunjungan itu, Dr. Janathan meluangkan masa menyantuni keluarga berkenaan, selain menyampaikan kata-kata semangat dan salam takziah daripada seluruh warga Gagasan Rakyat Bahagian Tandek bagi meringankan kesedihan yang ditanggung keluarga.
Kedua-dua kunjungan itu mencerminkan pendekatan kepimpinan Gagasan Rakyat Bahagian Tandek dalam mendekati masyarakat bukan sahaja untuk mendengar pandangan dan memahami keperluan penduduk, malah turut berkongsi keprihatinan ketika masyarakat berdepan saat sukar.
Usaha mendekati masyarakat secara langsung itu turut memberi penekanan kepada kepentingan hubungan berterusan antara kepimpinan parti dengan komuniti setempat, khususnya dalam aspek kebajikan dan pembangunan sosioekonomi penduduk di kawasan Tandek.





