Read Time:1 Minute, 30 Second
KOTA KINABALU: Bidang kemahiran berperanan penting dalam membangunkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi, selain membuka peluang kepada masyarakat, khususnya wanita dan penduduk luar bandar, untuk menjana pendapatan serta meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, berkata Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk melalui pelaksanaan pelbagai program latihan kemahiran.
Katanya, program kemahiran anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dalam bidang jahitan, masakan, dandanan diri dan seni tangan terbukti mampu melahirkan usahawan tempatan serta membuka peluang kepada peserta untuk membina sumber pendapatan sendiri.
“ kemahiran yang dimiliki pada hari ini bukan sekadar sekeping sijil, tetapi merupakan aset bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan, meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan seterusnya merancakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mini Konvokesyen Pendidikan Kemahiran dan Pembangunan Insan KEMAS Daerah Tuaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Juliah berkata, pembangunan modal insan bukan hanya tertumpu kepada penyediaan kemudahan fizikal dan pembangunan infrastruktur, sebaliknya perlu merangkumi pembangunan insan secara menyeluruh, termasuk aspek kerohanian dan pembentukan akhlak.
“Kita mahu melahirkan masyarakat yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi juga memiliki kekuatan rohani, akhlak yang mulia serta nilai-nilai murni dalam kehidupan.
“Keseimbangan ini penting bagi membina keluarga yang sejahtera, komuniti yang harmoni dan masyarakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Juliah yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS berharap para peserta dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk menceburi bidang keusahawanan serta berani memulakan perniagaan sendiri.
Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan platform digital bagi meluaskan pasaran, selain terus berinovasi dan kreatif dalam menghasilkan produk serta menawarkan perkhidmatan berkualiti.
Katanya, majlis konvokesyen berkenaan bukanlah pengakhiran perjalanan dalam menimba ilmu, sebaliknya menjadi permulaan kepada peluang lebih luas untuk peserta terus mengembangkan potensi diri dan mencapai kejayaan.





