Read Time:1 Minute, 24 Second
TAWAU : Sebuah bot kargo tempatan yang didapati melanggar syarat sah lesen dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) semalam.
Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Norihan Ngah, berkata penahanan dilakukan oleh kapal peronda KM KIDURONG yang sedang melaksanakan Ops Pluto Timur, Ops Sejahtera dan Ops Tiris sekitar perairan Tawau pada jam 10.30 pagi.
“Pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan barangan terpakai berupa botol kosong dan dikendalikan seorang lelaki warga Indonesia berumur 30 tahun.
“Juragan berkenaan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, selain lesen bot tidak mempunyai daftar nama serta tiada makluman pertukaran nakhoda,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, pemeriksaan turut mendapati juragan hanya memiliki salinan pasport tanpa permit yang sah, menimbulkan keraguan terhadap status keabsahan dokumennya.
“Lesen bot tersebut bersama juragan telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 kerana dokumen perjalanan meragukan,” katanya.
Norihan menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha bot yang gagal mematuhi peraturan lesen, walaupun melibatkan kesalahan kecil.
“Komuniti maritim perlu sentiasa peka terhadap syarat lesen yang telah ditetapkan. Maritim Malaysia akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti haram di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” ujarnya.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau jenayah maritim di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA






