Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

BioMath STEM Camp UMS perluas minat pelajar terhadap bidang STEM

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Program Science & Art Camp: BioMaths STEM anjuran Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi platform bagi memperluas minat pelajar sekolah menengah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program selama dua hari itu disertai 53 pelajar daripada empat sekolah menengah, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, SMK Bandaraya Kota Kinabalu, SMK Benoni dan SMK Petagas.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama U-Science UMS serta mendapat sokongan pembiayaan penuh daripada Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI).

Penyelaras Program BioMath STEM Camp UMS 2026, Dr Diana Hassan, berkata program itu memberi peluang kepada pelajar meneroka bidang STEM dalam suasana pembelajaran yang lebih interaktif, menyeronokkan dan berbeza daripada pembelajaran di bilik darjah.

Beliau berkata, pendedahan berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta, malah memupuk rasa ingin tahu, kemahiran menyelesaikan masalah serta keyakinan untuk mencuba idea dan pendekatan kreatif.

“Melalui program ini, kami berharap para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah dapat meningkatkan rasa ingin tahu, kemahiran menyelesaikan masalah dan keyakinan untuk mencuba idea serta pendekatan yang kreatif.

“Penglibatan empat buah sekolah dalam program ini juga mencerminkan kepentingan kerjasama antara universiti dan sekolah dalam memupuk minat generasi muda terhadap STEM,” katanya.

Menurutnya, penganjuran program itu turut mencerminkan komitmen FST UMS dalam memperluas pendidikan dan promosi STEM kepada masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Majlis penutupan program disempurnakan Dekan FST UMS, Prof Ts Gs Dr Rodeano Roslee, yang menekankan kepentingan pendedahan awal kepada STEM dalam membentuk generasi berfikiran kritis, kreatif dan inovatif.

Beliau berkata, universiti mempunyai peranan penting dalam mendekatkan ilmu sains kepada masyarakat, khususnya pelajar sekolah, menerusi program pendidikan dan aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah.

Sokongan KPSTI melalui U-Science UMS turut menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program berkenaan dalam menyokong usaha melahirkan generasi muda berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa depan berteraskan sains, teknologi dan inovasi.

LEAVE A RESPONSE