Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah Di Ambang Masyarakat Menua, Tujuh Daerah Sudah Capai Ambang Tujuh Peratus

Read Time:5 Minute, 9 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Sabah telah merekodkan jumlah penduduk yang lebih tinggi, dengan peratusan penduduk Bukan Warganegara yang sangat besar. Pada masa sama, Sabah telah merekodkan Jangkaan Hayat yang lebih tinggi, dan peratusan penduduk menua yang semakin besar.     

Berdasarkan Laporan Anggaran Penduduk Semasa – Daerah Pentadbiran Sabah 2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada awal bulan Oktober 2026, Sabah telah merekodkan jumlah penduduk yang lebih tinggi, meningkat 0.3% daripada 3.755 juta (2025) kepada 3.767 juta (2026).

Daripada jumlah 3.767 juta tersebut, penduduk Warganegara berjumlah 2.737 juta (72.7%), berbanding 2.718 juta (72.4%) pada tahun 2025. Manakala, penduduk Bukan Warganegara berjumlah 1.030 juta (27.3%), menurun daripada 1.036 juta (27.6%).

Ini bermakna, bagi setiap sepuluh penduduk, tiga adalah Bukan Warganegara.

Menariknya, sepanjang tempoh masa tujuh tahun (2020 – 2026), peratusan penduduk Bukan Warganegara di Sabah telah meningkat daripada 23.7% (2020) kepada 27.3%.

Malah, peratusan penduduk Bukan Warganegara di Sabah (27.3%) adalah hampir tiga kali ganda berbanding peratusan nasional (9.8%).

Lebih menarik, tiga daerah di Sabah memiliki peratusan penduduk Bukan Warganegara yang sangat tinggi dan melebihi penduduk Warganegara: Kinabatangan (72.7%), Kalabakan (69.2%), Kunak (51.9%).

Sudah tentu perkara ini tidak berlaku semalaman. Tetapi, mengambil masa bertahun-tahun tanpa tindakan yang berkesan dan dibiarkan berterusan. Sehinggakan rakyat Sabah kini menjadi kelompok minoriti di tempat sendiri. 

Tidak dinafikan ramai penduduk Bukan Warganegara yang menyumbang secara produktif kepada Sabah, dengan melakukan kerja di sektor-sektor ekonomi. Terutamanya perladangan kelapa sawit yang merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi Sabah dan negara.

Tetapi, pada masa sama, kebanjiran penduduk Bukan Warganegara ini mencetuskan tekanan berat ke atas perkhidmatan awam seperti air, elektrik dan kesihatan. Lebih-lebih lagi, perkhidmatan awam berkenaan masih dibelenggu dengan pelbagai isu legasi seperti bekalan air dan elektrik yang tidak menyeluruh, kemudahan kesihatan yang daif serta kekurangan kakitangan kesihatan.        

 Sementara itu, Sabah merekodkan Kadar Pertumbuhan Penduduk Tahunan yang rendah. Kecuali lonjakan penduduk pada tahun 2023 – 2024 susulan penamatan pergerakan ekoran Pandemik Covid-19, Kadar Pertumbuhan Penduduk Tahunan di Sabah secara konsisten berada di bawah paras 1%. 

Tahun 2020 2021 2022 2023 2024 2025 2026
Sabah – – 0.2% 0.1% 5.2% 4.0% 0.3% 0.3%
Malaysia – 0.4% 0.4% 2.1% 1.9% 0.5% 0.5%

Seiringan, Umur Penengah Sabah telah meningkat daripada 26.4 tahun (2020) kepada 28.0 tahun (2026). Sepanjang tempoh masa enam tahun (2020 – 2026), peratusan kelompok umur 0 – 14 tahun telah menurun dengan agak ketara daripada 26.5% kepada 22.9%. Sebaliknya, peratusan kelompok umur 60 tahun dan lebih telah meningkat daripada 8.1% kepada 9.1%, serta umur 65 tahun dan lebih telah meningkat kepada 6.5%. 

Ini menggambarkan Sabah semakin menghampiri tahap penduduk menua atau ageing society.

Kategori Umur 2020 2026
0 – 14 tahun 26.5% 22.9%
Umur 15 – 64 tahun 67.9% 70.6%
Umur 60 tahun dan lebih 8.1% 9.1%
Umur 65 tahun dan lebih 5.6% 6.5%

 Fakta menarik. Berdasarkan definisi United Nations, ada tiga kategori penuaan, di mana peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih mencapai: ageing society (7%), aged society (14%) dan super-aged society (20%).

Manakala, definisi Malaysia pula bersandarkan kepada Dasar Warga Emas Negara (DWEN), di mana penuaan ialah penduduk berumur 60 tahun dan lebih mencecah 15% daripada jumlah penduduk.

Daripada 28 daerah pentadbiran di Sabah, tujuh telah pun menjadi daerah menua, dengan penduduk berumur 65 tahun dan lebih telah mencapai 7.0%: Penampang (8.4%), Kota Kinabalu (7.9%), Tambunan (7.3%), Ranau (7.2%), Tenom (7.2%), Kudat (7.0%) dan Keningau (7.0%).

Manakala, tiga pula berada di ambang daerah menua: Tawau (6.9%), Sandakan (6.9%) dan Nabawan (6.9%).

Selari dengan peningkatan penduduk berumur 65 tahun dan lebih, Laporan Jadual Hayat Ringkas Malaysia 2024-2026, yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada bulan September 2026, menunjukkan Jangkaan Hayat Sabah telah meningkat daripada 74.3 tahun (2020) kepada 75.1 tahun (2026).

Jangkaan Hayat Malaysia ialah 75.5 tahun. Manakala, Selangor (78.2 tahun) merekodkan paras tertinggi.

 Sebagai perbandingan, Jangkaan Hayat bagi negara-negara serantau dan global ialah: Jepun (85.1 tahun), Republic of Korea (84.6 tahun), Singapura (84.1 tahun), United Kingdom (81.7 tahun), Amerika Syarikat (79.8 tahun), China (79.0 tahun), Thailand (77.1 tahun), Brunei (75.8 tahun), India (72.7 tahun), Indonesia (71.6 tahun).

Menariknya, laporan berkenaan menunjukkan Jangkaan Hayat penduduk Warganegara (73.6 tahun) adalah sepuluh tahun lebih rendah berbanding penduduk Bukan Warganegara (83.6 tahun) di Sabah.

Kajian wajar dilakukan bagi mendalami perbezaan besar ini. 

Sama menarik, ketiga-tiga etnik Melayu, Cina dan India di Sabah telah merekodkan Jangkaan Hayat yang lebih rendah daripada paras Jangkaan Hayat penduduk Warganegara di Sabah (73.6 tahun): Melayu (68.4 tahun), Cina (72.9 tahun), India (69.3 tahun).

Di kalangan daerah pentadbiran di Sabah, Jangkaan Hayat tertinggi direkodkan oleh Kalabakan (80.4 tahun), dan terendah pula oleh Kuala Penyu (67.0 tahun).

Malah, daripada lima daerah yang memiliki Jangkaan Hayat tertinggi di Malaysia, tiga adalah di Sabah: Kalabakan, Telupid (79.5 tahun) dan Lahad Datu (78.8 tahun).  

Berdasarkan data sedia ada, daerah yang menonjol di Sabah ialah Kalabakan, yang memiliki jumlah penduduk sebanyak 59.3 ribu orang. Di samping merekodkan Jangkaan Hayat (80.4 tahun) tertinggi di Sabah, Kalabakan memiliki majoriti penduduk Bukan Warganegara (41.0 ribu: 69.2%).

Sepanjang tempoh masa tujuh tahun (2020 – 2026), jumlah penduduk Bukan Warganegara telah meningkat daripada 30.6 ribu (2020) kepada 41.0 ribu (2026), lebih besar berbanding peningkatan penduduk Warganegara daripada 17.6 ribu kepada 18.3 ribu.

Justeru itu, dengan lebih ramai penduduk semakin menua dan Jangkaan Hayat yang semakin tinggi, Sabah mesti bersedia dengan cabaran berkenaan. Antara lain, termasuklah menyediakan kemudahan kesihatan dan penjagaan warga emas yang lebih menyeluruh, serta akses yang lebih mudah.

 Di samping itu juga, Sabah juga mesti menyediakan social safety net yang berkesan agar kesejahteraan kelompok penduduk menua ini terjaga dan masih boleh menjalani kehidupan wajar.

Dilemanya ialah ramai penduduk menua ini Bukan Warganegara, yang memiliki Jangkaan Hayat yang lebih tinggi daripada Warganegara. Sabah perlu mengimbangi keutamaan hak Warganegara, tanpa menidakkan hak kemanusiaan Bukan Warganegara. Dengan jumlah penduduk Bukan Warganegara yang besar, ini adalah satu cabaran hebat kepada Sabah.

LEAVE A RESPONSE