Read Time:2 Minute, 2 Second
RANAU: Rakyat di daerah ini diingatkan supaya terus menjaga persahabatan dan kekeluargaan, khususnya menjelang musim Pilihan Raya yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, rakyat perlu menghormati perbezaan fahaman politik masing-masing dan tidak membiarkan perbezaan itu memecah-belahkan perpaduan masyarakat setempat.
“Kita tidak boleh paksa orang untuk mengundi kita. Tapi satu perkara yang kita harus pegang ialah, jangan biarkan perbezaan politik mengakibatkan negara dan negeri kita berpecah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ukhwah Madani Komuniti Kampung Liposu Baru anjuran Akademi Kenegaraan (AKM) Malaysia di bawah Pejabat Perdana Menteri, yang diadakan di sini baru-baru ini.
Masidi turut memuji kredibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas kehadiran para pemimpin dunia termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Kuala Lumpur untuk menghadiri Persidangan ASEAN baru-baru ini.
“Bukan senang dapat mempelawa para pemimpin dunia hadir bersama dalam satu venue, apatah lagi di Malaysia. Ini menunjukkan bahawa para pemimpin dunia yakin dengan keupayaan negara kita mengekalkan keharmonian.
“Kita sudah berada di landasan yang cukup baik dan dikenali di seluruh dunia dengan reputasi yang positif. Justeru, kita harus kekalkan perpaduan dan jangan biarkan ia rosak kerana pilihan raya,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia merupakan antara negara terbaik untuk didiami, manakala Sabah pula adalah negeri terbaik di Malaysia kerana rakyatnya memiliki sikap toleransi tinggi yang menjadi asas kepada perpaduan mantap.
Masidi turut menegaskan bahawa Sabah mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri, termasuk Skim Insurans Kemalangan Percuma yang dinikmati oleh semua rakyat negeri ini.
Tambahnya, kerajaan negeri juga telah membelanjakan berbilion ringgit bagi menyediakan pelbagai bantuan pembelajaran kepada anak-anak Sabah.
“Insya-Allah, pada tahun hadapan kita akan memperkenalkan pengajian percuma kepada semua anak Sabah yang melanjutkan pengajian ke kolej-kolej milik Kerajaan Negeri.
“Kenapa kita lakukan semua ini? Kerana kita mampu, hasil kejayaan mengurus kewangan negeri dengan baik. Hari ini kita mempunyai simpanan sebanyak RM86 bilion, dan kita mampu menyediakan kemudahan kepada rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan, semua pencapaian itu adalah hasil daripada kestabilan politik, yang tidak akan dapat dicapai sekiranya kerajaan sering bertukar setiap lima tahun.
Masidi turut memuji inisiatif AKM yang berjaya menganjurkan program itu dengan baik serta memilih Kampung Liposu Baru sebagai lokasi pelaksanaan.
Beliau berharap para peserta memperoleh manfaat daripada pengisian program tersebut yang bukan sahaja memberikan input berguna, malah mempererat silaturahim antara komuniti setempat.
Turut hadir, Ketua Pengarah AKM, Datuk Dr Roslan Hussein, Adun Dilantik, Datuk Amisah Yassin, para peserta, penduduk dan pemimpin kampung setempat.






