Read Time:2 Minute, 32 Second
KOTA KINABALU: Karnival KITA 2026 membawa pembelajaran kira-kira 800 murid SMK Kolombong melangkaui bilik darjah menerusi gabungan pendidikan keselamatan, inovasi STEM, pembentukan sahsiah dan sukan tradisional.
Program selama dua hari yang berlangsung pada 20 hingga 21 Oktober lalu itu melibatkan semua murid sidang petang sekolah berkenaan, terdiri daripada murid Tingkatan Satu dan Dua.
Bertemakan “Membina Generasi MADANI yang Berkarakter, Kreatif, Bertanggungjawab dan Beraspirasi”, karnival itu mengetengahkan empat elemen utama, iaitu Karakter, Inovasi, Tanggungjawab dan Aspirasi (KITA), sebagai teras kepada pembentukan murid yang seimbang dari segi sahsiah, pengetahuan, kemahiran dan nilai murni.
Setiausaha program Ts. Zaeanna Xavier berkata penganjurannya merupakan sebahagian daripada usaha sekolah menyokong inisiatif Generasi MADANI Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), khususnya menerusi pelaksanaan Karnival KITA di bawah Strategi 1: Pembudayaan Generasi MADANI.
“Keistimewaan Karnival KITA 2026 terserlah melalui pendekatannya yang menggabungkan pendidikan keselamatan, inovasi STEM, pembentukan sahsiah dan aktiviti kesukanan dalam satu program yang menyeluruh.
“Gabungan pengisian ini memberikan pengalaman pembelajaran yang melangkaui bilik darjah serta menghubungkan pengetahuan dengan situasi kehidupan sebenar,” katanya.

Pada hari pertama, murid Tingkatan Satu didedahkan kepada aspek keselamatan, disiplin, inovasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pembangunan keyakinan diri menerusi ceramah dan aktiviti interaktif.
Antara pengisian utama ialah ceramah berkaitan kesalahan juvana dan disiplin yang disampaikan Pegawai Perhubungan Sekolah SMK Kolombong dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Inspektor Narendran A/L Rajenderey.
“Ceramah itu memberi pendedahan mengenai implikasi salah laku, kepentingan mematuhi peraturan serta tanggungjawab membuat keputusan yang bijak demi keselamatan dan kesejahteraan diri,” katanya.

Selain itu, Ts. Zulina Mazlan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berkongsi mengenai aplikasi sains, teknologi dan inovasi dalam bidang kesihatan.
Perkongsian berkenaan memberi peluang kepada murid memahami kepentingan STEM dalam dunia perubatan dan kehidupan seharian, selain mengenali potensi kerjaya dalam bidang itu.
Karnival itu turut menampilkan ceramah dan demonstrasi seni bela diri Shorinji Kempo yang dikendalikan Presiden Persatuan Shorinji Kempo Sabah, Jafery Jomion.
Menerusi demonstrasi dan sesi interaktif, murid didedahkan kepada kepentingan disiplin, fokus, kawalan diri dan keyakinan sebagai asas pembentukan jati diri yang positif.

Pada hari kedua pula, murid Tingkatan Dua menyertai pelbagai aktiviti sukan tradisional dan sukan lagenda, termasuk tarik tali, lompat dalam guni, lompat getah, batu seremban dan ikat kaki tiga.
Selain menggalakkan kecergasan fizikal, aktiviti berkumpulan itu bertujuan memupuk semangat berpasukan, kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerjasama dan semangat kesukanan.
Penganjuran aktiviti berkenaan juga menjadi platform untuk memperkenalkan dan memelihara permainan tradisional sebagai sebahagian daripada warisan budaya masyarakat.
“Penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM menerusi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta Persatuan Shorinji Kempo Sabah turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara sekolah, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat dalam memperkaya pengalaman pembelajaran murid,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Kolombong, Safaruddin Labenga, berharap kejayaan penganjuran karnival berkenaan dapat diterjemahkan kepada pencapaian objektif dan sasaran program, khususnya dalam memperkukuh sahsiah, meningkatkan pengetahuan serta membentuk murid yang berdisiplin, bertanggungjawab dan mempunyai aspirasi tinggi.
Beliau turut berharap ilmu, pengalaman dan nilai positif yang diperoleh sepanjang karnival dapat dimanfaatkan serta diamalkan murid dalam kehidupan seharian, sekali gus menjadi asas kepada pembentukan jati diri dan kecemerlangan mereka pada masa hadapan.






