Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

LLM mohon maaf gangguan TuJu, giat pulihkan sistem dan tingkat keupayaan aplikasi

Read Time:1 Minute, 6 Second

KAJANG: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memohon maaf atas gangguan teknikal aplikasi TuJu susulan peningkatan ketara jumlah pengguna selepas saranan Perdana Menteri supaya orang ramai mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.

LLM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan pihaknya bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB), sedang mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan keupayaan aplikasi untuk menampung pertambahan pengguna.

Menurut LLM, perhatian turut diberikan kepada maklum balas pengguna berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan serta pengalaman menggunakan aplikasi berkenaan.

“Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat dan mesra pengguna,” menurut kenyataan itu.

LLM menegaskan kepercayaan pengguna perlu dibina melalui mutu perkhidmatan yang boleh diharapkan.

Sehubungan itu, usaha memperkukuh TuJu turut merangkumi peningkatan fungsi navigasi, ketepatan maklumat dan keupayaan aplikasi memenuhi keperluan pengguna.

“Selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan pihak berkaitan dalam memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk aspek keselamatan dan tadbir urus data yang perlu diberi perhatian,” menurut kenyataan itu.

TuJu yang diperkenalkan pada 26 November 2025 merupakan aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan PCSB dengan kerjasama LLM.

Selain maklumat perjalanan, aplikasi berkenaan menyediakan maklumat keadaan trafik, kemudahan dan bantuan kecemasan bagi menyokong keperluan pengguna sepanjang perjalanan di lebuh raya.

LEAVE A RESPONSE