Read Time:1 Minute, 4 Second
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) mengemukakan beberapa cadangan inisiatif baharu untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan Sabah 2027.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick, berkata cadangan itu dibentangkan dalam sesi libat urus Belanjawan Sabah 2027 bersama Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, di sini, pada Selasa.
Ewon berkata, sesi berkenaan bukan sahaja membincangkan pelaksanaan inisiatif sedia ada oleh MINDET dan agensi di bawahnya, malah turut memberi ruang kepada kementerian itu mengemukakan cadangan baharu untuk pertimbangan kerajaan negeri.
“Selain inisiatif sedia ada oleh MINDET dan agensi-agensinya, saya juga telah membentangkan beberapa cadangan inisiatif untuk pertimbangan Belanjawan Sabah 2027,” katanya.
Menurut Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, SEDCOVEST, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) yang merupakan antara agensi di bawah MINDET, turut mengadakan pembentangan khas dalam sesi berkenaan.
Sesi libat urus itu merupakan sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan Sabah 2027 bagi membolehkan Kementerian Kewangan Negeri meneliti cadangan serta keperluan peruntukan yang dikemukakan kementerian dan agensi berkaitan.
Usaha itu penting bagi memastikan cadangan yang dikemukakan dapat diteliti dan dipertimbangkan dalam merangka keutamaan perbelanjaan serta pembangunan negeri bagi tahun hadapan.
Terdahulu, Masidi yang juga Menteri Kewangan menzahirkan penghargaan atas kunjungan tersebut yang menjadi platform perbincangan bagi memperkukuh sektor perindustrian dan pembangunan di negeri ini.





