Read Time:2 Minute, 51 Second
KOTA KINABALU: Sebanyak lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang kira-kira 177 kilometer dicadang dibuka secara berperingkat kepada pengguna sebelum hujung tahun ini bagi mempercepat manfaat projek berkenaan kepada rakyat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, langkah itu membolehkan pengguna menikmati kemudahan jalan raya yang lebih baik sementara kerja pembinaan di bahagian lain diteruskan.
Beliau berkata, usaha berkenaan dilaksanakan seiring tindakan susulan kerajaan negeri terhadap penemuan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2026 Siri 2 yang dibentangkan pada 5 Oktober lalu.
“Kerajaan Negeri menerima teguran audit dengan terbuka. Fokus kami sekarang ialah penyelesaian supaya rakyat dapat menggunakan jalan yang lebih baik secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, enam pakej sepanjang 135.8 kilometer sudah menerima Certificate of Partial Occupation (CPO), yang membolehkan seksyen jalan yang siap digunakan orang awam meskipun kerja di bahagian lain masih diteruskan.
Pakej berkenaan meliputi laluan Sindumin ke Beaufort dan Bongawan, Putatan ke Tebobon serta Moynod ke Sapi Nangoh.
Sementara itu, setakat 25 September 2026, empat pakej sepanjang 41.5 kilometer telah siap sepenuhnya, iaitu WP05 Papar ke Donggongon, WP15 Tawau ke Semporna, WP21 Lahad Datu Bypass dan WP27 Kampung Lot M ke Sandakan Mile 32.
Joachim berkata, kerajaan turut menyasarkan lapan pakej sepanjang 161.8 kilometer menerima Certificate of Practical Completion (CPC) pada 2027, iaitu perakuan bahawa kerja pembinaan telah disiapkan mengikut keperluan kontrak.
Mengulas kemajuan keseluruhan projek, beliau berkata, kemajuan fizikal Fasa 1A mencapai 89.54 peratus setakat 25 September 2026, manakala Fasa 1B mencatatkan 24.76 peratus dan pakej WP09 sebanyak 38.87 peratus.
Katanya, status tapak bebas halangan turut menunjukkan perkembangan positif, masing-masing sebanyak 99.79 peratus bagi Fasa 1A, 79.43 peratus bagi Fasa 1B dan 96.8 peratus bagi WP09.
Beliau menjelaskan, pengambilan tanah serta penyelarasan utiliti merupakan antara tanggungjawab utama kerajaan negeri dalam memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Menurutnya, kelewatan projek yang dimeterai pada 2016 itu antara lain berpunca daripada perubahan model pelaksanaan daripada Project Delivery Partner (PDP) kepada kaedah konvensional yang berkuat kuasa pada 22 September 2019.
Peralihan berkenaan memerlukan proses perolehan dan kontrak baharu, manakala pelantikan 15 kontraktor bagi Fasa 1A hanya selesai pada 2021.
Projek itu turut terjejas akibat pandemik COVID-19 yang mengganggu bekalan bahan dan tenaga kerja. Selain itu, lebih 70 peratus skop projek membabitkan pelebaran jalan sedia ada daripada dua kepada empat lorong, yang perlu dilaksanakan ketika trafik masih bergerak.
Bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual, kerajaan negeri bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) melaksanakan beberapa langkah, termasuk pemantauan berkala menerusi Jawatankuasa Pemandu Pan Borneo Sabah yang ditubuhkan pada November 2024.
Kerajaan negeri turut melaksanakan pelan pemulihan terhadap kontraktor yang mengalami kelewatan, termasuk melantik kontraktor baharu bagi pakej WP35 Kampung Nabutan ke Ranau pada 13 Januari 2026.
Joachim berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh penyelarasan dengan pejabat tanah dan syarikat utiliti, selain mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi ditetapkan.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan pengguna di kawasan pembinaan serta penyampaian maklumat kemajuan projek secara telus kepada rakyat akan terus diberi keutamaan.
Katanya, pakej Fasa 1B akan disiapkan secara berperingkat berdasarkan tarikh kontrak masing-masing sehingga 2030, dengan setiap sasaran dipantau secara rapi.
Beliau turut menghargai peruntukan RM1.38 bilion bagi Lebuhraya Pan Borneo dalam Belanjawan 2027 yang disifatkan penting untuk memastikan kesinambungan kerja pembinaan di tapak.
“Rakyat menilai kita melalui jalan yang mereka lalui setiap hari. Setiap seksyen yang dibuka adalah bukti kemajuan dan kami akan terus bekerja sehingga Pan Borneo Sabah siap sepenuhnya,” katanya.





