Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

N24 Champions League perkukuh perpaduan masyarakat Sabah

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Penganjuran ‘N24 Champions League’ menjadi platform bagi memperkukuh perpaduan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah menerusi sukan bola sepak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, penganjuran liga berkenaan merupakan kesinambungan kepada ‘KK N2FOUR Social League’ yang sebelum ini berjaya membina jaringan persahabatan dan semangat kebersamaan menerusi aktiviti sukan.

Menurutnya, penganjuran N24 Champions League kali ini turut membuka ruang kepada lebih ramai peserta untuk bersama-sama mengembangkan semangat kesukanan selain mengukuhkan hubungan dalam kalangan komuniti.

“Penglibatan pemain muda bersama pemain berusia 40 tahun ke atas bukan sahaja memeriahkan pertandingan, malah membolehkan perkongsian pengalaman dan pengetahuan antara generasi.

“Ini secara tidak langsung membentuk hubungan yang lebih erat serta mewujudkan suasana pertandingan yang sihat dan penuh semangat kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Perlawanan Pembukaan N24 Champions League di Fut-8 Padang Kontena, Sembulan, di sini.

Shah Alfie berkata, kejayaan sesebuah liga atau pertandingan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemenangan atau kejuaraan yang diraih, sebaliknya turut mengambil kira hubungan persahabatan yang terjalin sepanjang pertandingan.

Katanya, sukan khususnya bola sepak mempunyai keupayaan menyatukan masyarakat tanpa mengira usia, kaum dan latar belakang.

“Komitmen untuk terus menyokong penganjuran aktiviti bola sepak seperti ini akan diteruskan kerana ia bukan sahaja melahirkan pemain yang kompetitif, tetapi turut menjadi wadah menyatukan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sambutan meriah pada pembukaan liga berkenaan sebagai satu bentuk penghargaan kepada semua pemain, penganjur dan pihak yang memberikan komitmen bagi memastikan kejohanan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Sebanyak sembilan pasukan menyertai N24 Champions League yang dijangka berlangsung sehingga Januari 2027.

LEAVE A RESPONSE