Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Peruntukan RM18.7 bilion di Sabah merangkumi kos pengurusan – Masidi

Read Time:2 Minute, 8 Second

Oleh Normimie Diun

KUDAT: Peruntukan Belanjawan 2027 berjumlah RM18.7 bilion bagi Sabah bukan untuk pembangunan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kos pengurusan kementerian dan jabatan Persekutuan yang beroperasi di negeri ini.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebahagian besar peruntukan itu digunakan untuk menampung perbelanjaan pengurusan, termasuk pembayaran gaji kira-kira 120,000 penjawat awam Persekutuan yang bertugas di Sabah.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan antara penerima peruntukan pengurusan terbesar, dengan kedua-duanya menggunakan lebih separuh daripada keseluruhan peruntukan RM18.7 bilion berkenaan.

“RM18.7 bilion ini bukan semuanya untuk pembangunan. Kita kena faham bahawa peruntukan itu termasuk kos pengurusan kementerian dan jabatan Kerajaan Persekutuan yang beroperasi di Sabah.

“Jadi, tidak tepat jika kita menganggap RM18.7 bilion itu semuanya diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah bekalan air dan pembangunan lain di negeri ini,” katanya ketika sidang media sempena Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 di Kudat, hari ini.

Jelas Masidi, peruntukan pembangunan dalam belanjawan itu turut merangkumi projek baharu dan projek yang sedang dilaksanakan, justeru tidak keseluruhan jumlah berkenaan boleh dianggap sebagai peruntukan baharu untuk pembangunan.

Menurutnya, keperluan pembangunan Sabah sentiasa meningkat dan peruntukan sedia ada tidak semestinya mencukupi untuk menyelesaikan semua masalah yang telah berlarutan sekian lama.

Dalam perkembangan berkaitan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),

Masidi berkata, kehadiran pemimpin dan penyokong pelbagai parti pada prosiding rayuan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan pemberian khas Sabah diharap mencerminkan sokongan rakyat terhadap usaha mempercepat penyelesaian perkara itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sokongan berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai simbol politik, sebaliknya sebagai isyarat bahawa tuntutan Sabah perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya, kerajaan negeri menghormati proses mahkamah, namun keputusan yang tidak memihak kepada Sabah tidak bermakna usaha memperjuangkan hak negeri itu perlu dihentikan.

“Bagi kita di Sabah, kita menerima keputusan mahkamah, tetapi ia bukan jalan terakhir. Ada pilihan lain dan, seperti yang diketahui, rundingan sebenarnya masih berjalan,” katanya.

Masidi menjelaskan, perkara yang sedang melalui proses mahkamah melibatkan tuntutan bagi tempoh 1974 hingga 2021, yang sering dirujuk sebagai the lost years atau tahun-tahun yang hilang, manakala tuntutan bagi tempoh 2022 hingga kini perlu diusahakan supaya dapat diselesaikan dengan lebih segera.

Menurutnya, tuntutan bagi tempoh terdahulu memerlukan penelitian dan rundingan lebih panjang, termasuk berkaitan data serta pengiraan yang perlu diperincikan.

Sebaliknya, beberapa perkara bagi tempoh 2022 dan seterusnya mempunyai asas data yang lebih jelas dan tidak dipertikaikan oleh kedua-dua pihak, sekali gus membolehkan usaha penyelesaiannya diberikan keutamaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia meneruskan rundingan bagi perkara yang memerlukan penelitian lebih mendalam, termasuk mempertimbangkan kaedah pembayaran alternatif sekiranya jumlah yang terlibat terlalu besar.

LEAVE A RESPONSE