Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pembangunan Sabah perlu pelihara alam, jamin kesejahteraan rakyat

Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Pembangunan negeri Sabah perlu dilaksanakan dengan mengambil kira aspek pemeliharaan alam semula jadi dan kesejahteraan rakyat, selain kemajuan fizikal serta pertumbuhan ekonomi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kemajuan sebenar sesebuah negeri turut mengambil kira keupayaan mewujudkan persekitaran kehidupan yang berkualiti.

Katanya, perkara itu penting bagi Sabah yang mempunyai kekayaan biodiversiti, keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian warisan budaya yang menjadi sebahagian daripada identiti negeri.

“Pembangunan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur semata-mata melalui kemajuan fizikal, pertumbuhan ekonomi atau kepesatan pembangunan infrastrukturnya.

“Sebaliknya, kemajuan yang sebenar turut dinilai melalui keupayaan kita mewujudkan persekitaran yang berkualiti, memelihara khazanah alam semula jadi dan menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Anugerah Seni Bina Landskap Sabah (SLAA)di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.

Arifin berkata, pembangunan landskap memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan antara keperluan manusia dengan kelestarian alam sekitar.

Katanya, Sabah bukan sahaja memerlukan bandar dan pekan yang menarik dari segi visual, tetapi juga persekitaran yang selamat, selesa, inklusif serta mampu berdepan cabaran perubahan iklim pada masa hadapan.

“Kita bukan sahaja mahu melihat bandar dan pekan yang indah dipandang, tetapi juga persekitaran yang selamat, selesa, inklusif dan berdaya tahan dalam menghadapi perubahan iklim serta cabaran pembangunan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, setiap pembangunan yang dirancang perlu mengambil kira kesan jangka panjang terhadap alam sekitar bagi memastikan sumber semula jadi yang ada ketika ini dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

Dalam konteks itu, beliau berkata, pendekatan pembangunan yang menyeimbangkan aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar perlu terus diperkukuh sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri.

Katanya, pendekatan berkenaan juga selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkasakan pembangunan landskap yang berkualiti, mampan dan berdaya tahan.

Beliau berkata, tanggungjawab memelihara dan membangunkan landskap berkualiti bukan hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pemain industri serta komuniti.

“Pembangunan yang kita laksanakan pada hari ini hendaklah sentiasa mengambil kira keseimbangan antara keperluan manusia dengan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya terus memperkukuh kerjasama, meneroka pendekatan baharu serta memanfaatkan inovasi dan kepakaran dalam memastikan setiap pembangunan memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat dan alam sekitar.

Katanya, usaha berkenaan penting bagi merealisasikan aspirasi untuk membangunkan Sabah yang bukan sahaja maju dan berdaya saing, tetapi turut hijau, indah, sejahtera dan mampan.

LEAVE A RESPONSE