Read Time:2 Minute, 0 Second
RANAU : Semua pihak digesa agar terus berganding bahu dalam memastikan persekitaran kekal bersih, selamat dan lestari demi kesejahteraan rakyat serta generasi masa depan.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, faktor kesihatan persekitaran seperti kualiti udara, air bersih, pengurusan sisa pepejal dan kawalan penyakit bawaan vektor memainkan peranan penting dalam menentukan tahap kesihatan serta kualiti hidup masyarakat.
“Alam sekitar yang sihat bermula daripada kesedaran dan tindakan kita bersama. Tema sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia tahun ini, ‘Udara Bersih, Rakyat Sihat’, amat bertepatan dengan matlamat kita membentuk komuniti yang sihat dan lestari,” katanya.

Jonathan berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (WEHD) 2025 dan Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)–Sabah Maju Jaya (SMJ) Peringkat Parlimen Ranau yang diadakan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Ranau di Kiaburi, baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda.
Jonathan turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada PKD Ranau atas usaha penganjuran program berkenaan yang berjaya menggabungkan dua inisiatif besar — WEHD dan ANMS — bagi memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan kesihatan persekitaran.
“Program Jelajah ANMS adalah kesinambungan usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memperkasa masyarakat supaya memainkan peranan aktif dalam menjaga kesihatan diri, keluarga dan komuniti,” tambahnya.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan ANMS menekankan empat teras utama iaitu pemerkasaan rakyat, sokongan persekitaran, kerjasama pelbagai pihak dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Tambahnya, aktiviti seperti gotong-royong, pemeriksaan kesihatan, senamrobik dan kempen kebersihan bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran awam, malah memperkukuh semangat perpaduan dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kesihatan awam.
“Kesihatan bukan tanggungjawab individu semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh komuniti. Jika setiap lapisan masyarakat memainkan peranan, kita bukan sahaja dapat menjaga kebersihan, malah menjamin masa depan yang lebih sihat untuk semua,” katanya.
Jonathan turut berharap semangat yang ditunjukkan dalam penganjuran program itu dapat diteruskan melalui tindakan nyata di rumah, tempat kerja dan kawasan kejiranan masing-masing.
“Semoga program ini menjadi platform untuk memperkukuh kesedaran kesihatan, mempererat hubungan komuniti dan menginspirasikan tindakan positif demi kesejahteraan rakyat Malaysia,” jelasnya.
Program berkenaan turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk senamrobik, Larian WEHD 2025, fun games, free market, pameran kesihatan, kempen One Malaysia Clean-up Pekan Kiaburi, pertandingan Aerodance, serta cabutan bertuah dan penyampaian hadiah The Biggest Loser.
Antara yang mencuri perhatian ialah Program The Biggest Loser, anjuran Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS), PKD Ranau, yang menilai kejayaan peserta warga KKM dalam menurunkan berat badan sepanjang Januari hingga Oktober 2025. – SABAH MEDIA






