Read Time:1 Minute, 54 Second
SANDAKAN : Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk Charles O.P. Chu, menegaskan bahawa politik bukan sekadar medan berjanji, sebaliknya amanah untuk berkhidmat kepada rakyat secara berterusan dan berkesan.
Beliau menepis pelbagai spekulasi politik yang tular di media sosial menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang menyifatkannya sebagai ‘fenomena biasa musim pilihan raya’.
Katanya yang turut menyeru pengundi agar tidak mudah terpengaruh dengan ‘watak-watak sementara’ yang hanya muncul ketika kempen.
“Rakyat Karamunting kini lebih matang. Mereka tahu menilai siapa yang bekerja untuk mereka sepanjang masa, dan siapa yang sekadar berlakon menjelang pilihan raya,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut Charles, sejak diberi mandat pada tahun 2018, pasukannya menjadikan pembangunan asas dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan utama.
Katanya, ia sama ada melibatkan pembaikan infrastruktur tempatan, menyelesaikan aduan penduduk, atau menangani kejadian luar jangka, beliau berkata pasukan khas beliau digerakkan segera ke lapangan bagi memastikan tindakan pantas diambil.
“Selama tujuh tahun ini, apa yang kami lakukan bukan sekadar slogan politik. Kami turun padang dan bekerja untuk rakyat. Itulah sebabnya kami tidak merasa bersalah atas apa yang telah dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menegur segelintir pemimpin pembangkang yang menurutnya lebih gemar mencari kesalahan kerajaan tanpa membawa cadangan konstruktif.
“Menentang untuk menentang tidak membawa manfaat. Kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Perpaduan adalah asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri,” jelasnya.
Charles turut memuji kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan berjaya menstabilkan ekonomi negara dan memperkukuh hubungan antarabangsa.
“Nilai ringgit kini lebih stabil berbanding tahun 2023, dan peruntukan pembangunan Sabah meningkat daripada RM4.4 bilion pada 2022 kepada RM6.9 bilion pada masa ini. Ini bukti nyata keberkesanan kepimpinan dan kerjasama kerajaan negeri serta Persekutuan,” ujarnya.
Beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan negeri mengambil semula kuasa kawal selia tenaga elektrik pada tahun 2024, yang disifatkan sebagai langkah bersejarah ke arah autonomi tenaga Sabah.
“Langkah ini tidak berlaku secara kebetulan, tetapi hasil hubungan harmoni antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya lagi.
Sementara itu, ditanya mengenai hasrat untuk kembali bertanding, Charles berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada keputusan Presiden parti merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Apa yang penting bukan siapa calon, tetapi kestabilan dan hala tuju negeri Sabah. Selagi hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan dikekalkan, rakyat akan terus menikmati manfaatnya,” tegasnya.






