Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah catat pertumbuhan 4.1 peratus ketibaan pelawat bagi tempoh lapan bulan

Read Time:2 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Sabah mencatat pertumbuhan positif sebanyak 4.1 peratus dalam ketibaan pelawat bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sehingga Ogos 2026, Sabah merekodkan sebanyak 2.6 juta ketibaan pelawat, membabitkan 1.1 juta atau 43 peratus pelawat antarabangsa dan 1.5 juta atau 57 peratus pelawat domestik.

Katanya, pencapaian itu menunjukkan Sabah terus menjadi antara destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Angka ini jelas menunjukkan bahawa Sabah terus menjadi destinasi pilihan dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, pada majlis perasmian Malam Gala dan Ritma Kinabalu 2026 di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Menurut Hajiji, China kekal sebagai pasaran antarabangsa utama Sabah dengan merekodkan 578,681 ketibaan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Perkembangan ini disokong oleh pasaran Singapura, Australia dan Eropah, begitu juga Jepun yang turut merekodkan perkembangan memberangsangkan susulan semakan semula nasihat perjalanan.

“Manakala, ketibaan dari Itali dan Sepanyol pada bulan Ogos mencerminkan daya tarikan Sabah yang semakin kukuh dalam kalangan pelancong Eropah,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu memberi keyakinan bahawa Sabah mempunyai potensi besar untuk terus memperluas jangkauan ke pasaran antarabangsa, khususnya dengan sokongan rangkaian dan ketersambungan penerbangan yang lebih baik.

Dalam pada itu, Hajiji berkata pasaran domestik yang mencatat peningkatan sebanyak 2.1 peratus terus menjadi tonggak penting kepada industri pelancongan negeri.

“Dapatan awal Lembaga Pelancongan Sabah juga menunjukkan bahawa minat terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan kekal kukuh,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat cabaran yang perlu ditangani, khususnya berkaitan tambang serta ketersediaan penerbangan yang boleh mempengaruhi keputusan pelancong untuk berkunjung ke Sabah.

Katanya, perkara itu turut memberi kesan kepada daya saing negeri berbanding destinasi lain di dalam negara dan rantau ini.

“Justeru, aspek ketersambungan udara perlu terus diberikan perhatian agar potensi besar sektor pelancongan Sabah dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Hajiji turut mengulangi keyakinan bahawa Sabah mampu mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat bagi tahun ini.

“Kita amat berbangga dengan pencapaian sektor pelancongan Sabah, yang kini telah mencecah kira-kira 64 peratus daripada sasaran empat juta pelawat bagi tahun 2026.

“Pencapaian ini memberikan asas yang kukuh untuk kita terus meningkatkan momentum bagi tempoh berbaki tahun ini.

“Untuk mencapai sasaran tersebut, kita memerlukan tambahan sekitar 1.44 juta ketibaan bagi tempoh September hingga Disember tahun ini, atau purata kira-kira 361,000 pelawat sebulan,” katanya.

Beliau berkata sasaran itu boleh dicapai sekiranya momentum sedia ada terus diperkukuh menerusi promosi yang lebih berkesan, peningkatan ketersambungan penerbangan serta kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri dan semua pihak berkepentingan.

Mengenai Malam Gala dan Ritma Kinabalu atau Rhythms of Kinabalu 2026 yang kini memasuki edisi ke-12, Hajiji berkata program berkenaan merupakan inisiatif baik dalam menyediakan platform kepada penggiat seni dan budaya, termasuk kumpulan muzik tradisional serta kontemporari, untuk mempersembahkan karya berkonsepkan muzik Borneo.

Beliau berkata pelancongan kebudayaan merupakan antara tarikan utama yang mampu menarik lebih ramai pelancong ke Sabah.

“Kepelbagaian khazanah budaya, adat resam, seni dan makanan tradisional kita menawarkan pengalaman yang unik kepada para pengunjung.

“Pada masa yang sama, sektor ini membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat serta membantu memelihara khazanah budaya untuk generasi akan datang.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperkenalkan kekayaan budaya Sabah kepada dunia, di samping memastikan keasliannya terus terpelihara,” katanya.

LEAVE A RESPONSE