Read Time:1 Minute, 30 Second
RANAU : Kejohanan Bola Tampar Tertutup sempena Karnival Sukan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Zon Tengah Daerah Ranau mendapat sambutan luar biasa 15 pasukan lelaki dan wanita yang berentap di Dewan Kompleks Sukan Ranau, semalam.
Kejohanan tersebut bertambah meriah dengan kehadiran penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, yang turut menyempurnakan majlis perasmian.
Dalam ucapannya, Masidi menyeru pelajar dan pihak sekolah di daerah itu agar memperkukuh penyertaan dalam acara sukan, khususnya bola tampar, bagi membina budaya kesukanan yang sihat dalam kalangan generasi muda.
“Saya berharap semua pihak sekolah dapat mempopularkan bola tampar sebagai sukan pilihan utama seperti bola sepak. Kejohanan seperti ini mampu menambah minat, semangat kesukanan dan memupuk persaudaraan di kalangan pelajar dan masyarakat,” katanya.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur — PIBG Zon Tengah dan Jawatankuasa Kejohanan — atas kejayaan menganjurkan acara sukan yang mampu mempererat hubungan komuniti.
“Tahniah kepada PIBG dan AJK yang bertungkus-lumus menjayakan kejohanan ini. Ia bukan sahaja medan persaingan sihat tetapi juga platform membina perpaduan,” katanya.
Bagi kategori lelaki, PIBG Lohan muncul juara, diikuti Komuniti SK Lipasu C (naib johan) dan Komuniti SK Lipasu A (tempat ketiga).
Sementara itu, kategori wanita dimenangi oleh PIBG SK Lipasu A, manakala PIBG Lohan dan PIBG Kundasang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Yang Dipertua PIBG Zon Tengah, Jalihah Daimin, dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Masidi kerana sudi merasmikan kejohanan dan turut membantu menampung kos penganjuran.
“Sukan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi wadah membina semangat kerjasama, kesepakatan dan nilai-nilai murni dalam membentuk masyarakat harmoni serta cemerlang.
Program seperti ini juga menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh hubungan antara warga sekolah, ibu bapa serta komuniti setempat,” katanya.
Kejohanan tersebut berlangsung dalam suasana penuh semangat dan menjadi bukti komitmen komuniti pendidikan Ranau terhadap pembangunan sukan dan perpaduan masyarakat.






