Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Lelaki bebas tuduhan edar lebih 1kg dadah

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, daripada pertuduhan mengedar 1,166.22 gram methamphetamine.

Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad membuat keputusan itu terhadap Asmadin Abdurahman, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, pada akhir kes pendakwaan.

Asmadin yang tidak memiliki dokumen turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen.

Mengikut pertuduhan, Asmadin didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1,166.22 gram di kawasan parkir lot berhadapan Pasar Besar Lama Pekan Kota Belud, kira-kira jam 2.30 petang pada 1 Oktober 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati hendaklah dipenjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Seramai lima saksi pendakwaan dipanggil sepanjang kes pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalili mengendalikan pendakwaan, manakala Asmadin diwakili peguam lantikan Edward Paul.

LEAVE A RESPONSE