Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ops Tiris 4.0: KPDN Semporna rampas petrol bernilai lebih RM3,000

Read Time:1 Minute, 32 Second

SEMPORNA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah merampas 850 liter minyak petrol bernilai kira-kira RM3,714.50 dalam dua kes berasingan di sekitar perairan daerah ini.

Rampasan itu dibuat susulan dua kes serahan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna pada Sabtu menerusi operasi penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu).

KPDN memaklumkan, kes pertama membabitkan penemuan 300 liter petrol yang disimpan dalam 12 gelen di kawasan perairan Kampung Halo.

Dalam operasi berkenaan, turut ditemukan sebuah bot kayu berwarna putih/biru putih tanpa nombor pendaftaran bersama sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 40 kuasa kuda (HP).

Individu yang dipercayai terlibat bagaimanapun melarikan diri ke kawasan bakau ketika pemeriksaan dijalankan, menyebabkan bot dan barangan berkenaan ditinggalkan di lokasi.

Bagi kes kedua, sebanyak 550 liter petrol yang disimpan dalam 22 gelen ditemukan di kawasan pinggir bakau Kampung Tobok Tobok.

Turut dirampas ialah sebuah bot kayu berwarna putih/merah tanpa nombor pendaftaran dan sebuah enjin sangkut Yamaha Enduro berkuasa 40 HP.

Individu yang dipercayai terlibat turut melarikan diri ke kawasan bakau dan meninggalkan bot serta barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan.

Kedua-dua kes dikategorikan sebagai rampasan tanpa tuan dengan jumlah keseluruhan minyak petrol yang dirampas sebanyak 850 liter.

Susulan itu, KPDN Sabah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan.

KPDN menegaskan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dan penyelewengan barang kawalan akan terus dipergiat, khususnya membabitkan minyak petrol bersubsidi.

Kementerian itu turut mengingatkan mana-mana pihak supaya mematuhi semua peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan tidak menyalahgunakan barang kawalan untuk tujuan yang menyalahi peraturan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan atau penyelewengan barang kawalan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp KPDN di 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel [email protected] atau aplikasi Ez ADU KPDN. SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE