Read Time:1 Minute, 49 Second
SEMPORNA: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sulabayan menyifatkan hasrat Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 sebagai tidak relevan dan tidak berpijak pada realiti politik tempatan.
Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulabayan, Azlan Hisham, berkata berdasarkan rekod pilihan raya lalu, parti-parti nasional seperti UMNO dan PKR sendiri sukar menembusi kawasan berkenaan, apatah lagi Amanah yang tidak mempunyai struktur organisasi, cawangan aktif mahupun keanggotaan di peringkat akar umbi.
“Adalah tidak tepat untuk menjustifikasikan kelayakan bertanding hanya atas dasar majoriti penduduk Islam. Masyarakat Sulabayan memang beragama Islam dan gerakan dakwah telah lama subur di sini. Namun, keutamaan rakyat ketika ini ialah pembangunan dan kemajuan selaras dengan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan GRS,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, GRS sebagai parti kerajaan negeri mempunyai keupayaan, jaringan serta pengalaman mentadbir bagi memastikan pembangunan mampan dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Jika Amanah benar-benar menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, katanya, parti itu sepatutnya menghormati struktur politik tempatan dan memberi ruang kepada GRS untuk memperkukuh mandat rakyat di Sulabayan.
“Tambahan pula, di peringkat pusat, Warisan dan Amanah (melalui Pakatan Harapan) kini berada dalam Kerajaan Perpaduan. Namun aneh apabila Amanah memilih Sulabayan kawasan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai kerusi yang ingin ditandingi,” katanya.
Azlan berkata, langkah itu dilihat tidak bijak dan bercanggah dengan semangat perpaduan kerana Warisan merupakan parti pembangkang utama di Sabah dan pesaing langsung kepada kerajaan GRS.
“Mengapa perlu memilih kawasan yang jelas menjadi kubu kuat Presiden Warisan, sedangkan matlamat utama seharusnya memperkukuh kestabilan kerajaan negeri yang diterajui GRS?” katanya lagi.
Dengan kekuatan lebih 6,000 ahli akar umbi, katanya, Pemuda GRS Sulabayan yakin dan bersedia memastikan kerusi Sulabayan kekal di bawah pentadbiran GRS dalam PRN akan datang.
“Amanah sebagai parti kecil di peringkat pusat wajar menilai kemampuan sendiri sebelum membuat sebarang pengumuman yang boleh menimbulkan kekeliruan atau persepsi negatif terhadap kerjasama politik sedia ada,” katanya.
Beliau menegaskan, Sulabayan tidak memerlukan percaturan politik luar yang tidak memahami denyut nadi rakyat tempatan, sebaliknya fokus utama ialah kesinambungan pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan masyarakat di bawah panji GRS.






