Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Inkues Zara: Pemeriksa dokumen kekal pendapat mustahil tiru tulisan tangan

Read Time:1 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Malaysia kekal dengan pendapatnya bahawa mustahil tulisan tangan pada dokumen yang didakwa milik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditiru.

Nurul Atiqah Mohd Noh yang dipanggil semula sebagai saksi mengekalkan pendapat yang diberikannya pada 8 September 2025 bahawa tulisan berkenaan mustahil ditiru kerana jumlahnya yang sangat banyak, merangkumi pelbagai topik dan ditulis dalam jangka masa yang panjang.

Beliau berkata demikian pemeriksaan utama oleh pegawai pengendali Dana Arabi Wazani di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Menjawab soalan lain, Nurul Atiqah berkata dapatan seorang saksi pakar bebas Dr Linthini yang menyatakan “tidak dapat membuat kesimpulan” mengenai tulisan tangan pada beberapa dokumen berkenaan tidak bermaksud ia bukan tulisan Zara.

Ditanya sama ada dapatan “tidak dapat membuat kesimpulan” bermaksud tulisan pada halaman itu ditulis oleh individu lain, Nurul Atiqah menjawab: “Tidak.”

Linthini merupakan pakar pemeriksa tulisan tangan dan dokumen yang dipanggil oleh pasukan guaman ibu Zara, manakala Nurul Atiqah dipanggil semula dalam prosiding inkues selepas Linthini serta beberapa pakar berkaitan tulisan tangan selesai memberikan keterangan.

Dana: Sila rujuk kepada perenggan 21(1) laporan kedua puan. Kesimpulan puan adalah tulisan W1, W2, W3, Y1 hingga Y15 adalah ditulis oleh penulis contoh Zara Qairina, betul?

 Nurul: Betul.

Dana: Dr Linthini menyatakan pada W2 muka surat 45, 49 hingga 51, 58, 59, 61, dan 62 terdapat tulisan individu-individu lain di samping tulisan Allahyarhamah Zara dan beliau membuat kesimpulan bahawa orang lain mungkin mempunyai akses kepada W2. Setelah pemeriksaan menyeluruh puan ke atas W2, adakah puan mendapati mana-mana muka surat atau bahagian W2 yang tidak ditulis oleh penulis contoh?

Nurul: Ada tulisan yang mempunyai ciri yang sedikit berbeza. Tetapi saya tidak dapat memberikan pendapat mengenai penulis ini kerana karakternya yang sedikit.

Dana: Jika sebahagian besar catatan dalam sebuah jurnal ditulis oleh pemiliknya tetapi terdapat beberapa baris atau catatan oleh orang lain, pada pendapat puan adakah itu semestinya bermakna catatan-catatan utama dalam jurnal tersebut tidak ditulis oleh pemiliknya?

Nurul: Tidak.

Zara, 13, ditemukan di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 dan meninggal dunia di hospital pada keesokan harinya.

Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang diberi nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa menggunakan kata-kata menghina terhadap Zara.

Prosiding inkues akan bersambung pada 6 Oktober.

LEAVE A RESPONSE