Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Guru Pendidikan Islam Sabah perlu bersedia hadapi perubahan pendidikan

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU : Guru Pendidikan Islam khususnya di negeri perlu mengambil peluang bagi meningkatkan penguasaan teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI) yang kini telah memasuki hampir setiap sektor kehidupan, termasuk bidang pendidikan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasneh berkata, guru mempunyai peranan yang amat besar yang bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah membentuk pemikiran, membina karakter dan mencorakkan masa depan generasi masa kini.

“AI boleh membantu guru menyediakan bahan pengajaran, membina aktiviti pembelajaran, menganalisis keperluan murid dan menghasilkan kandungan pendidikan yang lebih kreatif dan interaktif.

Isnin Aliasneh

“Namun begitu, kita perlu memahami bahawa AI hanyalah alat. Guru tetap menjadi insan yang membimbing, mendidik dan membentuk nilai.

“Lebih-lebih lagi dalam Pendidikan Islam, penggunaan AI mestilah disertai dengan akhlak, adab, amanah, ketepatan ilmu dan kefahaman terhadap sumber-sumber Islam yang sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pembangunan Modal Insan (PPMI) Institusi Pendidikan Islam Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Hadir sama Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad.

Isnin berkata, pihaknya melihat program PPMI itu adalah sebagai satu langkah yang penting kerana ia bukan sahaja mahu meningkatkan kemahiran profesional guru, tetapi mahu memastikan guru-guru Pendidikan Islam Sabah celik teknologi, celik AI dan bersedia menghadapi perubahan pendidikan masa hadapan.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu melahirkan guru Pendidikan Islam yang menguasai ilmu agama, pedagogi dan teknologi, sehingga mampu menjadikan AI sebagai pemudah cara dalam proses pengajaran dan pembelajaran tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan dan pembentukan akhlak.

Sementara itu, Isnin berkata, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong segala usaha yang membawa kepada pemerkasaan pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Kita sedar bahawa masih terdapat keluarga yang berdepan dengan cabaran ekonomi dan sosial. Namun kita percaya bahawa antara jalan paling penting untuk mengubah keadaan tersebut ialah melalui pendidikan dan ilmu.

“Hanya ilmu yang mampu membuka minda, membina kemahiran, meningkatkan peluang pekerjaan dan seterusnya mengubah keadaan ekonomi sesebuah keluarga,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE