KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah terus memperkukuh hubungan dan kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Sabah menerusi kunjungan hormat Pengarah JBPM Negeri Sabah, Pisar Aziz, kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (SKN), Datuk Zainudin Aman, di Menara Kinabalu, hari ini.
Kunjungan hormat yang berlangsung pada jam 4.00 petang itu antara lain bertujuan mempererat hubungan antara JBPM Sabah dan kerajaan negeri, khususnya dalam aspek keselamatan, pencegahan dan kesiapsiagaan kebakaran, operasi penyelamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Pertemuan tersebut turut menjadi platform bagi memperkenalkan barisan kepimpinan JBPM Negeri Sabah selain membincangkan dan bertukar pandangan mengenai pengurusan keselamatan, kebombaan dan penyelamatan di negeri ini.
Dalam perbincangan itu, kedua-dua pihak turut memberi penekanan terhadap kepentingan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi pelbagai bentuk kecemasan dan bencana bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa menjadi keutamaan.
Kerjasama erat antara JBPM Sabah dan kerajaan negeri dilihat penting dalam memastikan sistem pengurusan keselamatan dan tindak balas kecemasan di negeri ini terus diperkasa, khususnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana pada masa akan datang.






