Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Warga asing ditahan bersama senapang angin guli buatan sendiri

Read Time:1 Minute, 9 Second

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki menceroboh sebuah kebun dan memiliki senapang angin guli buatan sendiri di Batu 15, Jalan Apas Balung, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt dalam kenyataan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan pemilik kebun yang mendakwa ternampak seorang lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, pemilik kebun itu turut mendapati lelaki berkenaan membawa senapang angin guli buatan sendiri dan dipercayai memotong rantai pintu pagar kebun.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Sri Indah yang menjalankan rondaan cegah jenayah pergi ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki yang sedang duduk di bawah pokok dalam kawasan kebun berkenaan.

“Pemeriksaan kemudian dilakukan terhadap suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wilynton berkata, hasil soal siasat awal, suspek menunjukkan lokasi senapang angin guli buatan sendiri berwarna hijau dan hitam yang diletakkan di atas sebuah kerusi di bawah pokok.

Katanya, polis merampas senjata berkenaan untuk siasatan lanjut, manakala pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Beliau menegaskan komitmen pihak polis untuk terus menjalankan rondaan serta tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan di daerah Tawau terpelihara.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu atau aktiviti mencurigakan,” tambahnya.

LEAVE A RESPONSE