Read Time:2 Minute, 55 Second
KOTA KINABALU: Semangat kemerdekaan bukan sekadar berkisar mengenai kibaran Jalur Gemilang dan kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi kesedaran bahawa setiap rakyat mempunyai hak dan tanggungjawab dalam memastikan Malaysia terus aman, stabil dan makmur.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sambutan Bulan Kebangsaan yang memuncak pada 31 Ogos dan diteruskan sehingga Hari Malaysia pada 16 September merupakan wadah untuk rakyat menzahirkan kebersamaan dalam mensyukuri nikmat kemerdekaan dan keamanan.
Menurut beliau, semangat patriotisme yang disemarakkan di seluruh pelosok negara juga perlu disertai tekad untuk bersama-sama membina masa depan Malaysia.
“Siapa juga kita, sama ada pimpinan, penjawat awam, komuniti peniaga, penggerak masyarakat sivil mahupun rakyat, semuanya mempunyai peranan masing-masing dalam sistem kenegaraan.
“Walaupun mempunyai persamaan atau apa jua perbezaan, tanah air ini adalah milik bersama setiap warganegara dan pemilikan itu dimaknai dengan kedua-dua soal hak dan tanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Armizan berkata, persoalan hak dan tanggungjawab itu turut terpakai kepada barisan pimpinan negara yang mendapat mandat melalui sistem demokrasi berparlimen.
Beliau berkata, sejak beberapa bulan lalu, khususnya ketika berinteraksi dengan masyarakat di Sabah, beliau sering diajukan persoalan mengenai situasi semasa Kerajaan Persekutuan, termasuk mengenai hala tuju Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
“Sejujurnya, acap kali juga saya memilih untuk memberikan jawapan mudah yang sebenarnya lebih kepada mengelak perbincangan panjang. Respons saya adalah, janganlah kita campur, urusan gajah sama gajah, yang penting rumah kita, kita jaga.
“Hakikatnya, Malaysia ini juga adalah rumah besar yang wajib dipelihara dan dibina bersama. Sekalipun datang daripada parti dan rumah kecil, saya juga mempunyai hak dan tanggungjawab kepada tanah air tercinta,” katanya.
Armizan berkata, meskipun mempunyai pengalaman dalam sistem politik dan kerajaan sejak lebih 25 tahun lalu selepas menamatkan pengajian serta pernah berkhidmat di beberapa kementerian, beliau masih menganggap dirinya sebagai antara ‘orang baharu’ dalam barisan Jemaah Menteri.
Katanya, sebagai wakil sebuah parti tempatan, beliau lebih memilih untuk menimba pengalaman dengan memerhati perkembangan politik dari dekat, selain memberi tumpuan kepada tanggungjawab di kementeriannya serta isu-isu berkaitan Sabah.
“Sebagai pemerhati yang tidak terkait secara langsung dengan dinamika baharu hubungan antara dua gabungan parti nasional utama dalam Kerajaan Perpaduan MADANI, secara jujurnya saya kagum dan bersyukur dengan kematangan politik rakan-rakan dalam Jemaah Menteri.
“Saya kagum kerana sekalipun di luar para penggerak parti saling berbalas pantun dan bertikam lidah sejak beberapa bulan lalu, hubungan dan interaksi para pimpinan utama dalam setiap Mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional,” katanya.
Menurut Armizan, pengalaman itu memberi peluang kepadanya untuk melihat, belajar dan berada dalam suasana politik yang matang serta bertanggungjawab.
Beliau berkata, kematangan berkenaan terbina atas kesedaran dan kebersamaan untuk membentuk konsensus perpaduan demi memastikan Malaysia mempunyai sebuah kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mampu memandu hala tuju pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, kestabilan kerajaan juga penting bagi menyempurnakan amanah yang lahir daripada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dimeterai pada 16 Disember 2022.
“Inilah landskap politik baharu negara yang perlu diterima pasca berakhirnya dominasi satu parti.
“Inilah masa untuk memaknai bicara kita sendiri bahawa peristiwa 2018 hingga 2022, dengan pertukaran tiga Perdana Menteri dan tiga saf Kabinet dalam satu penggal, bukanlah formula yang baik untuk membina kemakmuran yang mampan untuk Malaysia,” katanya.
Armizan berkata, kematangan politik dan kepimpinan dalam Jemaah Menteri perlu berteraskan kesedaran bahawa hak politik individu dan parti harus diseimbangkan dengan tanggungjawab untuk membina negara.
“Inilah nilai dan makna sebuah kematangan politik yang penting untuk memandu kestabilan dalam dinamika landskap demokrasi dan politik Malaysia hari ini dan masa mendatang,” katanya. – SABAH MEDIA






