Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kebakaran Kampung Numbak sumbang kemerosotan kualiti udara

Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Kebakaran membabitkan 202 rumah setinggan atas air di Kampung Numbak, awal pagi tadi, turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara setempat ketika Sabah berdepan jerebu rentas sempadan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah, Nor Rashidah Mohd Ghazali berkata, paparan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) hari ini menunjukkan dua titik panas dikesan di Kampung Numbak, membabitkan kebakaran rumah setinggan atas air berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kualiti udara di Sabah terjejas akibat jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan.

“Asap tebal daripada kebakaran tersebut telah dibawa oleh tiupan angin ke wilayah Borneo, termasuk Sabah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah juga melaporkan kebakaran 202 buah rumah setinggan atas air di Kampung Numbak, Kota Kinabalu pada awal pagi 30 Ogos 2026 turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara setempat.

“Tiada sebarang kejadian kebakaran besar lain di sekitar Kota Kinabalu yang dilaporkan oleh JBPM Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, berikutan cuaca panas dan kering, JAS bersiap siaga meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka, selain memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU)  dari semasa ke semasa.

Setakat ini sebanyak 474 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan.

Pada masa sama, orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2000 atau tidak melebihi RM 500,000 juga boleh dikenakan atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.

“Orang ramai diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727,” katanya.

Untuk rekod, bacaan IPU di stesen Politeknik Kota Kinabalu mencecah 142.

LEAVE A RESPONSE