Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Isu ‘perut rakyat’ di Sabah perlu diberi keutamaan segera – J-KOM

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan dan kos sara hidup rakyat perlu diberi keutamaan serta ditangani segera, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali.

Beliau berkata, kesukaran rakyat untuk meneruskan kehidupan, menyediakan makanan, menyara keluarga serta mendapatkan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang baik antara perkara penting yang memerlukan perhatian kerajaan.

“Saya berpendapat isu yang perlu diselesaikan segera adalah isu perut rakyat yang perlu kita utamakan.

“Kesusahan rakyat untuk hidup, makan, menyara keluarga, sekolah dan mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik serta pendidikan yang cukup adalah amat penting. Jadi isu ini perlu diutamakan dan kerajaan perlu peka serta menyelesaikannya segera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi ramah mesra bersama pengamal media di Sabah, yang turut menjadi platform untuk mendapatkan pandangan mengenai isu yang dihadapi rakyat di negeri ini.

Menurutnya, antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi berkenaan ialah isu kabotaj, kenaikan harga barang di Sabah, bekalan air, infrastruktur jalan raya, kuota diesel dan harga tiket penerbangan.

Mohd Hisyamuddin berkata, semua perkara yang dibangkitkan itu telah dicatat dan akan disampaikan kepada pimpinan yang terlibat.

Tambahnya, pandangan pengamal media penting kerana mereka berhubung secara langsung dengan rakyat, mengikuti isu tempatan setiap hari serta lebih terdedah kepada maklumat di peringkat akar umbi.

Dalam pada itu, beliau berkata, program bersama media berkenaan adalah sebahagian daripada usaha J-KOM untuk mengatasi krisis komunikasi antara kerajaan dan rakyat.

Katanya, J-KOM juga perlu memainkan peranan sebagai perantara antara jabatan kerajaan dan media bagi memastikan maklumat mengenai pencapaian kerajaan sampai ke peringkat akar umbi.

Pendekatan Focus Group Discussion (FGD) pula digunakan bagi mendapatkan maklumat secara langsung daripada pengamal media untuk dibawa kepada kerajaan.

Beliau berkata, sesi bersama media itu adalah yang pertama diadakan dan program sama akan diperluaskan ke negeri-negeri lain di seluruh negara.

Sebelum ini, pendekatan sama turut dilaksanakan bersama rakyat daripada pelbagai kaum dan komuniti, termasuk golongan berpendapatan rendah.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh secara langsung daripada masyarakat boleh dibawa kepada kerajaan sebagai semak dan imbang, terutama sekiranya terdapat isu kritikal yang memerlukan penyelesaian.

LEAVE A RESPONSE