Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sabah Electricity syarikat anchor pertama Sabah sertai Program Pembangunan Vendor KUSKOP

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Sabah Electricity iaitu syarikat anchor pertama di Sabah menyertai Program Pembangunan Vendor (PPV) KUSKOP.

Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick berkata, di bawah PPV, kementerian menyediakan geran sokongan sehingga RM1.2 juta kepada syarikat-syarikat vendor yang memperoleh kontrak atau perolehan daripada syarikat anchor untuk Program Pembangunan Inovasi dan Program Pembangunan Kapasiti syarikat vendor.

“Setakat hari ini, Sabah Electricity menjadi syarikat yang ke-39 mengadakan MoU dengan KUSKOP.

“Pemeteraian MoU itu juga adalah antara hasil pelaksanaan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara yang saya perkenalkan di KUSKOP bagi membangunkan keperluan khas usahawan di Sabah dan Sarawak.

“Kementerian juga sedang berbincang dengan Sarawak Energy dan berharap mereka juga akan menandatangani MoU ini seterusnya menjadi syarikat ke-40 dan yang pertama dari Sarawak menyertai program anchor KUSKOP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sabah Electricity Vendor Day 2025, di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, hari ini.

Melalui MoU ini, vendor Bumiputera yang berdaftar dengan Sabah Electricity layak menerima pelbagai bentuk sokongan termasuk bimbingan latihan, pembangunan teknikal, khidmat nasihat keusahawanan serta bantuan penyelidikan dan pengkomersialan melalui Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) dan Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor (GPPV).

Ewon berkata, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebanyak tujuh syarikat Bumiputera di Sabah yang menjadi vendor kepada lima syarikat anchor sedia ada menerima geran PPKV dan GPPV daripada KUSKOP.

“Bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), KUSKOP menyasarkan 120 syarikat vendor Bumiputera di seluruh negara akan menerima manfaat daripada geran tersebut, termasuk 15 syarikat disasarkan daripada Sabah,” katanya.

Katanya lagi, Sabah Electricity juga layak menerima insentif potongan cukai dua kali ganda (Double Deduction Tax Incentive) selepas dilantik sebagai syarikat anchor bagi PPV.

“KUSKOP komited memastikan pembangunan usahawan di Sabah dan Sarawak terus diperkasa agar mereka berdaya saing, inovatif dan mampu menembusi pasaran nasional serta serantau,” katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Sabah Electricity Saadiah Aziz, pegawai-pegawai kanan KUSKOP dan Sabah Electricity.

LEAVE A RESPONSE