Read Time:1 Minute, 52 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempercepatkan pembinaan Klinik Kesihatan Sungai Tamang di Pulau Sebatik yang telah lama dinantikan penduduk setempat, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, projek itu akan menggunakan peruntukan kira-kira RM1.5 juta di bawah kerajaan Madani bagi menggantikan klinik sedia ada yang telah beroperasi sejak tahun 1969 dan kini berada dalam keadaan daif.
“Saya tak mahu tunggu lagi. Kita akan pastikan pembinaan klinik baru ini segera dilaksanakan menggunakan peruntukan yang ada. Ini langkah tegas dalam rangka pembaikan klinik-klinik daif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Desa Sungai Imam di sini, hari ini.
Lawatan beliau ke Tawau merupakan sebahagian daripada program peninjauan fasiliti kesihatan di pantai timur Sabah, termasuk di Pulau Sebatik, bagi meneliti keadaan sebenar kemudahan kesihatan luar bandar.
“Ini penting untuk memastikan pencapaian Liputan Kesihatan Sejagat (UHC)- leaving no one behind, benar-benar dapat dicapai, tanpa ada rakyat yang terpinggir,” jelasnya.
Menurut beliau, klinik baharu Sungai Tamang yang dicadangkan akan dibangunkan di atas tanah seluas 3.1 ekar, termasuk kemudahan kuarters kakitangan, bagi menampung keperluan lebih 25,000 penduduk di kawasan berkenaan.
Selain itu, Dr. Dzulkefly turut mengumumkan perancangan untuk meningkat taraf Klinik Desa Sungai Imam kepada Klinik Kesihatan Type 7, memandangkan kawasan itu mempunyai lebih 15,000 penduduk.
Mengenai Klinik Desa Sungai Imam yang dirasmikan hari ini, beliau berkata kemudahan itu telah beroperasi sejak November 2024 dan menelan belanja RM600,000, termasuk pembinaan kuarters tiga bilik untuk petugas kesihatan.
“Saya mahu klinik ini dijadikan model atau penanda aras (benchmark) bagi projek naik taraf klinik desa di seluruh negara iaitu pantas, tidak lewat, dan menepati keperluan rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan antara penambahbaikan yang akan diberi perhatian termasuk penyediaan bot ambulans dan bot perkhidmatan bagi kegunaan petugas kesihatan di Pulau Sebatik.
“Kedua-dua kemudahan ini akan dibekalkan dalam masa terdekat. Saya sudah lihat sendiri keperluannya di lapangan,” katanya.
Dr. Dzulkefly turut memaklumkan bahawa sejak dua bulan lalu, beliau telah melakukan tujuh siri lawatan kerja ke Sabah, meliputi enam daerah dan 16 fasiliti kesihatan di pantai timur negeri itu termasuk di Sandakan, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Tawau.
“Ini bukan kerja sambil lewa. Kita mahu pastikan fasiliti kesihatan luar bandar Sabah terus diberi tumpuan, seiring semangat MA63,” tegasnya.