Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

KKM awasi peningkatan Influenza A di Sabah menjelang pilihan raya

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi potensi penularan Influenza A di Sabah, khususnya menjelang musim pilihan raya akan datang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata langkah proaktif itu amat penting berikutan peningkatan kadar konsultasi pesakit bergejala di fasiliti kesihatan KKM di seluruh negara, termasuk Sabah.

“Kalau kita lihat dari sudut angka kadar konsultasi, maknanya kadar rakyat mendapat rawatan di fasiliti KKM, untuk minggu epid 42, kadar di seluruh Malaysia meningkat daripada 9.22 peratus kepada 9.68 peratus. Namun di Sabah, peratusannya lebih tinggi, iaitu 11.163 peratus dengan 1,744 kes,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Desa Sungai Imam di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan semasa, Sabah kekal menjadi negeri dengan kadar rawatan tertinggi bagi penyakit seakan influenza (ILI) dan jangkitan saluran pernafasan akut teruk (SARI).

Katanya, tujuh klinik sentinel di Sabah masing-masing di Kota Kinabalu (Menggatal dan Luyang), Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Membakut dan Kota Marudu sedang memperkukuh pemantauan berterusan terhadap penularan virus influenza.

“Kita juga telah membuat persiapan rapi di hospital rujukan seperti Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas, bagi memastikan kesiapsiagaan dari segi rawatan, makmal, serta bekalan ubat-ubatan dan vaksin,” jelas beliau.

Menurut Dr. Dzulkefly, antara langkah utama ialah memperkukuh genomic surveillance (proses pemantauan dan analisis genetik patogen, seperti virus dan bakteria) bagi mengesan sebarang mutasi virus yang berpotensi menjadi lebih agresif.

“Influenza A (H3N2) ini adalah seasonal flu, bukan common flu, namun kita tetap perlu berwaspada. Walaupun simptomnya biasanya ringan hingga sederhana, golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, dan pesakit yang mempunyai komorbiditi perlu diberi perhatian khusus,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa stok vaksin influenza dan ubat antiviral mencukupi di seluruh negara.

“Saya ingin mengingatkan rakyat, jika bergejala, elakkan keluar rumah atau menghantar anak ke sekolah. Gunakan pelitup muka di kawasan sesak dan amalkan etika batuk serta bersin dengan betul,” pesannya.

Katanya lagi, kementerian melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM akan terus memantau situasi dan bersedia mengambil langkah tambahan jika diperlukan.

“Kita mahu pastikan liputan kesihatan sejagat dicapai tanpa meninggalkan sesiapa pun, leaving no one behind,” tegas beliau.

LEAVE A RESPONSE