KOTA KINABALU : Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27 melibatkan sidang satu dan dua akan diadakan sehari lebih awal, iaitu pada 28 November berbanding tarikh asal 29 November.
Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam satu kenyataan memaklumkan, perubahan itu dibuat selepas pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (DU) Sabah Ke-17 pada 29 November 2025.
Menjelaskan perkara itu, UMS memaklumkan, pelarasan itu bertujuan memberi ruang kepada warga universiti, graduan dan ibu bapa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa menjejaskan perjalanan majlis konvokesyen.
Sidang melibatkan sidang tiga dan empat pada 30 November (Ahad) serta sidang lima dan enam pada 1 Disember (Isnin) akan diteruskan seperti dalam jadual asal.
“Penjadualan semula ini membolehkan graduan, ibu bapa, warga universiti dan masyarakat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa menjejaskan kelancaran majlis konvokesyen,” menurut kenyataan itu.
UMS turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak atas kesabaran dan sokongan sepanjang proses pelarasan dilakukan serta memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul.
Para graduan disaran untuk melayari laman web rasmi konvokesyen UMS bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan majlis berkenaan. – SABAH MEDIA / FOTO UMS